Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
90) TASKA DAN NURSERI KANAK-KANAK
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memberi sokongan kepada para pengusaha taska dan nurseri kanak-kanak yang terjejas akibat pandemik covid19?
Kerajaan Negeri turut prihatin terhadap keperluan pengusaha taska yang telah memulakan operasi mereka pada 4 Mei 2020 yang lalu dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak kepada golongan ibu bapa yang bekerja di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang merangka dan mempertimbangkan program bantuan pasca COVID-19 yang bersesuaian dengan peruntukan sedia ada dengan cadangan untuk membekalkan set kelengkapan perlindungan diri (personal protection equipment – PPE) kepada semua pengusaha taska dengan kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri.
Melalui set kelengkapan PPE yang bakal dibekalkan, pengusaha taska dapat membuat persiapan khusus sebelum menerima kemasukan kanak-kanak di taska selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain giat melakukan proses pembersihan dan sanitasi menyeluruh di premis masing-masing.
Selain itu, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdapat dua jenis bantuan telah disalurkan sebagai menzahirkan sokongan kepada pengusaha taska yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Bantuan kepada pengusaha – pengusaha TASKA adalah seperti berikut:
- Bantuan Khas Geran Pengurusan Secara One Off TASKA Komuniti (TASKOM) berjumlah RM5,000 bagi setiap TASKOM.
- Bantuan Khas kepada Pengusaha Taska Yang Terkesan Secara Langsung Dengan PKP berjumlah RM5,000 bagi TASKA Institusi dan TASKA Tempat Kerja serta RM1,500 bagi TASKA Di Rumah.
(Sumber : Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor)
-
Adakah terdapat SOP bagi Taska di rumah atau pengasuh di rumah dalam tempoh PKPP ini?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan Panduan Pencegahan Penularan COVID-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak pada 4 Mei 2020. Garis panduan ini adalah perlu dipatuhi oleh semua TASKA termasuk TASKA Di Rumah sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penyebaran wabak COVID-19.
(Sumber : Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor)