Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

157) TASK FORCE TANAH NEGERI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini guna tanah Kerajaan Negeri ke atas tanah yang telah selesai dikenalpasti dan dalam inventori Kerajaan Negeri Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sijangkang, maklumat aset kerajaan negeri (tanah kerajaan) dikemas kini dan dikawal selia melalui aplikasi Sistem Data Kawal Selia Aset Tanah atau dikenali sebagai Selangor Land Information System (SeLIS) yang mana data-data tersebut dibahagikan mengikut lapan (8) lapisan seperti berikut:-

     

    1. “Virgin Land”
    2. Lesen Pendudukan Sementara (LPS)
    3. Luput Notis 5A
    4. Luput Tempoh Pajakan
    5. Rampasan di bawah Notis 8A
    6. Rizab
    7. Rizab Melayu
    8. Mineral dan bahan batuan

     

    Proses pengemaskinian senarai inventori tanah diuruskan oleh setiap Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing. Manakala, pemantauan dan penyeliaan status Tanah Kerajaan dijalankan oleh Unit Task Force dan Penyelidikan, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS). Proses pengemaskinian dan pemantauan ini sentiasa dijalankan secara berkala oleh PTGS melalui mesyuarat dan pemantauan di tapak. Pemantauan di tapak juga amat penting untuk memastikan tanah-tanah Kerajaan tersebut tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak yang tidak berkenaan.

     

    Tanah-tanah berpotensi yang telah dikenal pasti akan sentiasa dikaji semula daripada segi nilaian tanah, lokasi, keadaan topografi, aspek teknikal dan perundangan bagi tujuan perancangan dan pembangunan ekonomi di Negeri Selangor.

     

    Sebahagian tanah yang mempunyai nilai ekonomi tinggi akan diagihkan sebagai tapak gantian sekiranya terdapat tuntutan kes-kes Mahkamah terhadap Kerajaan Negeri berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) / Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES). Status inventori tanah ini juga akan dibentangkan secara berkala kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk makluman dan arahan selanjutnya berkaitan hala tuju Tanah Kerajaan ini.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.