Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

39) TAPAK WARISAN DI KUALA KUBU BHARU

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Status terkini usaha JPBD dalam menyediakan kajian Bandar Kuala Kubu Bharu sebagai tapak warisan.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) pada masa kini sedang menjalankan Kajian Pengenalpastian Bandar Kuala Kubu Bharu Sebagai Tapak Warisan Kebangsaan atau Dunia yang bertujuan untuk mengenal pasti kesesuaian dan Nilai Keunggulan Sejagat ataupun dengan izin; Outstanding Universal Value (OUV) bagi pencalonan Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Kebangsaan atau Tapak Warisan Dunia UNESCO.

    Untuk makluman, kajian ini sedang dalam peringkat penyediaan Laporan Akhir OUV. Laporan ini akan mengenalpasti potensi dan kesesuaian, sempadan tapak warisan dan mengumpul dan menganalisa maklumat pembuktian tapak warisan berdasarkan parameter dan kriteria Tapak Warisan Kebangsaan melalui peruntukan Seksyen 67 (2) Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan sepuluh (10) kriteria yang ditetapkan oleh pihak UNESCO.

    Kajian juga turut mengenalpasti nilai warisan Bandar Kuala Kubu Bharu sebagai Bandar Taman (Garden City) pertama di Tanah Melayu termasuklah membuat perbandingan dengan tapak seumpamanya yang lain di seluruh dunia, mengumpul bahan sejarah pembentukan Kuala Kubu Bharu sebelum dan semasa pemerintahan Inggeris dan Raja-Raja Melayu, sejarah dan teknik aktiviti perlombongan dan lain-lain pembuktian yang boleh menyokong usaha pengiktirafan Bandar Kuala Kubu sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan seterusnya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

  2. Nyatakan kos perbelanjaan telah dan akan digunakan untuk mengangkat Bandar Kuala Kubu Bharu sebagai tapak warisan.

    Kerajaan Negeri melalui peruntukan RMKe-11 telah memperuntukan keseluruhan RM1.2 juta kepada PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) untuk menjalankan Kajian Bandar Kuala Kubu Bharu Sebagai Bandar Warisan Kebangsaan dan Dunia yang merangkumi tiga (3) peringkat, bermula tahun 2018 sehingga tahun 2020.

    Bagi tahun kewangan 2018, sejumlah RM450,000 telah dibelanjakan untuk menjalankan kajian pengenalpastian dan pembuktian nilai keunggulan sejagat ataupun dengan izin; Outstanding Universal Value (OUV), dan sejumlah RM450,000 pula diperuntukkan pada tahun 2019 bagi penyediaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan ataupun Conservation Management Plan (CMP). Seterusnya bagi tahun 2020, sejumlah RM350,000 diperuntukan bagi penyediaan dokumen pre-dossier untuk dokumen pencalonan sebagai tapak warisan dunia kepada pihak UNESCO.

    Berdasarkan Draf Laporan Akhir OUV yang akan dibawa kepada Jawatankuasa Teknikal kajian pada 27 November 2018, Kuala Kubu Bharu berpotensi sebagai Tapak Warisan Kebangsaan (Akta 645) berkemungkinan berdasarkan dua (2) kriteria utama iaitu:

    1. Kuala Kubu Bharu sebagai Bandar Perlombongan Warisan; atau
    2. Kuala Kubu Bharu Sebagai Bandar Dalam Taman Pertama di Malaysia.

     

    Hasil Laporan Akhir kajian ini akan menjadi dokumen sokongan untuk pencalonan Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

    Bagi pencalonan Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kajian mendapati kekuatan Kuala Kubu Bharu untuk dicalonkan secara bersendiri adalah tidak kukuh. Kajian mencadangkan pencalonan secara serial nomination bersama tapak-tapak seperti Kinta, Ipoh dan Taiping sepertimana pencalonan Melaka dan Georgetown.

  3. Adakah Masjid Ampang Pecah telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Laporan Tinjauan Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 telah mengenalpasti Masjid Ampang Pecah sebagai sebahagian sumber warisan bangunan di Daerah Hulu Selangor di bawah kategori rumah ibadat/masjid.

    Masjid Ampang Pecah (Masjid Lama Al-Hidayah) juga telahpun didaftarkan sebagai Warisan oleh Pesuruhjaya Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada tahun 2012.

    Untuk makluman juga, Masjid Ampang Pecah (Masjid Lama Al-Hidayah) turut dikenalpasti sebagai sebahagian bangunan warisan yang akan diketengahkan di dalam usaha mengangkat Bandar Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Kebangsaan melalui Kajian Pengenalpastian Bandar Kuala Kubu Bharu Sebagai Tapak Warisan Kebangsaan atau Dunia.

Lampiran

Tiada Lampiran.