Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
169) TAPAK USAHAWAN
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila kemukakan senarai mengikut DUN lokasi tapak usahawan, tapak bazaar, tapak pasar malam dan tapak uptown di seluruh Selangor.
Berikut merupakan senarai mengikut DUN lokasi tapak usahawan, tapak bazaar, tapak pasar malam dan tapak uptown di seluruh Negeri Selangor seperti di lampiran.
-
Sila nyatakan program-program yang boleh dimohon oleh Usahawan Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta setiap tahun untuk Dana Usahawan Mikro Selangor. Bantuan ini diberikan kepada industri mikro di mana ia ditakrifkan sebagai perniagaan dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000.00 dan mempunyai 2 hingga 5 orang pekerja tetap. Fokus Pembangunan Usahawan adalah untuk memberi bantuan kepada usahawan melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor untuk membantu usahawan-usahawan industri mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.
- Skop Bantuan
Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak. Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Skop bantuan adalah seperti berikut:
- Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;
- Meningkatkan kualiti premis / perniagaan iaitu mengubahsuai / menaiktaraf);
- Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahawan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;
- Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan
- Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri Selangor.
-
Sejauh manakah keberkesanan program Hijrah Selangor kepada usahawan Selangor?
Pihak Hijrah Selangor belum membuat kajian berkenaan keberkesanan program ini. Walau bagaimanapun berdasarkan pemerhatian pihak Hijrah keberkesanan program ini dapat dilihat melalui:
- Jumlah peserta yang berjaya membuat bayaran balik pinjaman kali pertama dan telah memohon pinjaman kali kedua dan ketiga.
- Peserta pinjaman Hijrah juga dapat memberi impak yang positif dalam membuat penambahan dari segi peralatan, keluasan premis perniagaan, bilangan premis dan sekaligus secara umumnya ia dapat meningkatkan pendapatan mereka.
- Hasil kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan-IDE berkaitan dengan Hijrah Selangor bagi Daerah Sabak Bernam yang disiarkan di akhbar SelangorKini pada 27 Jun 2016 menunjukkan impak positif terhadap skim pinjaman Program Hijrah Selangor.