Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

228) TAPAK PENEMPATAN KERETA TERBIAR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kekangan yang dihadapi oleh PBT sehingga tapak penempatan kereta terbiar sentiasa dalam keadaan penuh?

    Kekangan yang dihadapi oleh PBT sehingga tapak penempatan kereta terbiar sentiasa dalam keadaan penuh antaranya adalah seperti berikut:-

    1. Penundaan kenderaan terbiar oleh PBT semakin meningkat berbanding keluasan depoh yang amat terhad. Selain itu, depoh turut berkongsi dengan kenderaan lain yang ditunda seperti lori, van dan sebagainya bagi kesalahan membuang sampah, tempat letak kereta atau lain-lain;
    2. Walaupun tempoh masa pengurusan kereta terbiar telah dipendekkan dari 6-12 bulan ke 2-4 bulan, permohonan semakan pengesahan kenderaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu seperti daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semakan rekod jenayah daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semakan sewabeli daripada institusi kewangan;
    3. Selain itu, PBT perlu mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa iaitu di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133) di mana sebarang pelupusan kenderaan (fizikal dan rekod) hanya boleh dilaksanakan sama ada dengan Perintah Mahkamah atau secara sukarela oleh pemilik kenderaan dan bukan sekadar secara notis;
    4. Pemilik kenderaan tidak mengemaskini maklumat kenderaan bersama pihak JPJ menyebabkan notis peringatan gagal disampaikan kepada pemilik;
    5. Tenaga kerja pegawai dan anggota PBT yang terhad serta beban kerja yang bertambah khususnya membabitkan kawalan dan pembukaan kertas siasatan bagi setiap kenderaan yang ingin dilupus turut menjejaskan proses pengurusan kenderaan terbiar.

     

  2. Apakah tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil terhadap bengkel-bengkel haram yang terletak di kawasan perumahan dengan kereta-kereta buruk mereka semasa tapak penempatan kereta terbiar telah penuh?

    PBT boleh mengambil tindakan terhadap bengkel haram yang beroperasi di kawasan perumahan dengan mengeluarkan Notis Borang I(1) iaitu Notis Supaya Pemajuan Menepati Kebenaran Merancang Dan Syarat-Syarat di bawah Seksyen 28(2)(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 di mana pengusaha diarahkan memulihkan semula bangunan premis kepada keadaan asal (kediaman) dan sekiranya ingkar arahan, tindakan boleh diteruskan samada di bawah Seksyen 31 iaitu pihak Majlis boleh meroboh, mengubah atau memindahkan mana-mana barang, kenderaan dari bangunan premis tersebut serta boleh menuntut perbelanjaan dan kos semasa tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan. Di samping itu, pengusaha juga boleh didakwa terus ke mahkamah di bawah Seksyen 26(1)(b) dan jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan denda tambahan sehingga lima ribu ringgit bagi setiap hari kehendak-kehendak itu berterusan tidak dipatuhi. Selain itu, PBT boleh mengambil tindakan kompaun dan notis akan dikeluarkan ke atas kenderaan-kenderaan tersebut untuk pemilik mengalihkan kenderaan dari tempat yang boleh mendatangkan halangan kepada orang awam / penduduk setempat.

    Bagi menempatkan kenderaan yang disita, PBT perlu menyusun semula depoh kenderaan dengan lebih kemas dan sitematik. Kenderaan ditunda akan dimasukkan ke dalam depoh setelah depoh mempunyai ruang untuk meletakkan kenderaan lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.