Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

136) Tapak Pembuangan Sampah Haram

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana isu ini ditangani kerana masih berleluasa dan beroperasi sebagai tapak pembuangan sampah haram?

    Pertanyaan Yang Berhormat Seri Setia dan Yang Berhormat Jeram iaitu No. 65 dan 136 akan dijawab bersekali.

    Tindakan dan langkah-langkah yang diambil oleh PBT bagi mengatasi dan mengurangkan aktiviti pembuangan sampah haram di dalam kawasan seliaan PBT dan bukan seliaan PBT kawasan adalah seperti berikut:-

    1. Menjalankan rondaan/pemantauan berkala dan menjalankan operasi di kawasan hotspot dengan pakaian preman;
    2. Bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi mendapatkan maklumat dan tindakan penangkapan terhadap pesalah;
    3. Memulakan penggunaan kamera litar tertutup mudah alih (Mobile CCTV) di lokasi-lokasi hotspot pembuangan sampah haram untuk dijadikan bukti kukuh bagi membawa pesalah ke peringkat pendakwaan;
    4. Menyita kenderaan pengangkut sampah/ lori yang membuat kesalahan serta mengenakan kompaun maksimum dan kos operasi penguatkuasaan sitaan lori;
    5. Bagi kawasan-kawasan kampung seperti kampung tradisi dan kampung baru/bagan/tersusun, Kerajaan Negeri melalui PBT ada menyediakan perkhidmatan kutipan sampah berjadual secara berpusat dengan menyediakan tong leach bin di lokasi yang strategik bagi memudahkan penduduk kampung membuang sampah di tong sampah tersebut; dan
    6. Bagi tapak pelupusan sampah haram yang berskala besar terutamanya yang dikawal oleh pengusaha di tanah persendirian, PBT dengan kerjasama PDT akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan akan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang diperkenalkan melalui Arahan Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Selangor (PTGS) Bil.1/2019 yang membawa kepada perampasan tanah di bawah Akta Kanun Tanah Negara 1965.

     

    Bagi maklumbalas pertanyaan Yang Berhormat Jeram, setakat ini tiada tapak pelupusan haram direkodkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di kawasan DUN Jeram.

  2. Berapa banyak syarikat atau pemilikan tanah individu yang telah didapati bersalah keatas tapak pembuangan sampah haram terutamanya dikawasan DUN Jeram?

    Sebanyak empat puluh satu (41) notis di bawah UUK 4 Undang Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 telah dikeluarkan kepada empat puluh satu (41) pemilik tanah di Kampung Sri Sentosa bertarikh 15 September 2020. Sehingga Jun 2020, Majlis Daerah Kuala Selangor melalui Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan telah mengeluarkan lima (5) notis hapuskan kacauganggu kepada pemilik tanah yang menjalankan aktiviti tanpa kebenaran di bawah Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan.

    Selain itu, sebanyak tujuh (7) kompaun telah dikeluarkan dan empat (4) lori telah disita. Pada tahun 2019, empat puluh enam (46) kompuan telah dikeluarkan dan sebelas (11) lori telah disita di kawasan tersebut. Sebanyak tiga puluh tiga (33) lot tanah atau pemilik telah dikenalpasti melakukan kesalahan dan surat pemakluman telah diserahkan kepada pemilik, jika pemilik masih ingkar, notis 7A akan dikeluarkan kepada pemilik.

Lampiran

Tiada Lampiran.