Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
82) TAPAK PELUPUSAN SISA PEPEJAL DI SELANGOR
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan bilangan tapak pelupusan sisa pepejal yang masih beroperasi dan tidak beroperasi di Selangor mengikut daerah.
Kerajaan Negeri mempunyai sebanyak tiga (3) buah tapak pelupusan sisa pepejal yang diuruskan oleh syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB), selaku anak syarikat Kerajaan Negeri dalam pengurusan pelupusan sisa pepejal iaitu:-
- Tapak Pelupusan Sanitari Jeram;
- Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Duabelas; dan
- Tapak Pelupusan Panchang Bedena, Sabak Bernam
Manakala tapak pelupusan sisa pepejal yang telah ditutup dengan selamat ada empat (4) buah tapak iaitu:-
- Tapak Pelupusan Kubang Badak, Mukim Bestari Jaya;
- Tapak Pelupusan Sg. Kembong, Mukim Beranang;
- Tapak Pelupusan Ampar Tenang, Daerah Dengkil; dan
- Tapak Pelupusan Sungai Kertas, Daerah Gombak
Selain itu, Tapak Pelupusan Bukit Beruntung milik Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) juga telah ditutup sepenuhnya dan sisa pepejal domestik dari kawasan MDHS dilupuskan di Tapak Pelupusan Sanitari, Bukit Tagar milik KUB-Berjaya Enviro Sdn. Bhd.
-
Adakah Kerajaan Negeri pernah memulihkan tanah bekas tapak pelupusan sampah untuk tujuan pembangunan yang lain? Jika ya, nyatakan butir-butirnya
Pemulihan tanah bekas tapak pelupusan sisa pepejal telah dilakukan sejak tahun 2011 ke atas Tapak Pelupusan Sanitari Air Hitam, Puchong yang kini telah dijadikan taman rekreasi dan ditukar nama kepada Worldwide Landfill Park. Tapak pelupusan berkenaan berkeluasan 42 hektar yang menampung sejumlah 6.2 juta tan metrik sisa pepejal dan telah ditutup selamat serta menjalani kerja-kerja pasca penutupan untuk lima (5) tahun. Antara kemudahan-kemudahan yang terdapat di taman rekreasi Landfill Park tersebut ialah taman permainan kanak-kanak, trek berbasikal, jogging dan gazebo. Taman tersebut turut memiliki stesen janakuasa tenaga elektrik 2.0MW yang dihasilkan daripada gas pelupusan sisa pepejal.