Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

216) TAPAK PELUPUSAN SAMPAH

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan kapasiti penuh serta yang kapasiti penggunaan setiap tapak pelupusan sampah di Selangor.

    Jumlah tapak pelupusan sedia ada di Negeri Selangor adalah sebanyak enam (6) buah tapak pelupusan iaitu tiga (3) buah tapak pelupusan sanitari dan tiga (3) buah tapak pelupusan sisa lengai yang dikendalikan oleh syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB).

    Kapasiti penerimaan sisa yang boleh dilupuskan dalam sehari bagi tapak pelupusan sanitari iaitu Tapak Pelupusan Sanitari Jeram adalah sebanyak 3,500 tan sehari manakala baki tempoh jangka hayat adalah selama lima (5) tahun; Tapak Pelupusan Tanjung Dua Belas sebanyak 2,500 tan sehari manakala baki tempoh jangka hayat adalah selama tiga (3) tahun dan Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena sebanyak 90 tan sehari dan baki tempoh jangka hayat adalah selama empat (4) tahun.

    Bagi kapasiti penerimaan sisa untuk tapak pelupusan sisa lengai iaitu Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil adalah sebanyak 500 tan sehari manakala baki tempoh jangka hayat adalah selama tujuh (7) tahun; Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang sebanyak 300 tan sehari dan baki tempoh jangka hayat adalah satu (1) tahun dan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Tua sebanyak 550 tan sehari dan baki tempoh jangka hayat adalah kurang dari setahun.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan sisa pepejal supaya di Negeri Selangor, terutamanya sisa yang boleh terbiodegradasi daripada sampai di Tapak Pelupusan Sampah?

    Pada masa ini, rancangan Negeri Selangor dalam menguruskan pelupusan sisa pepejal dari terus dilupuskan di tapak pelupusan termasuklah sisa yang boleh terbiodegrasi adalah Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Ke 16/2016 pada 11 Mei 2016 telah bersetuju supaya anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu WHB menerajui usaha untuk membangunkan dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, Daerah Kuala Selangor dan ISWMC yang kedua di Tanjung Dua Belas, Daerah Kuala Langat yang telah diluluskan oleh MMKN Ke 41/2020 pada 2 Disember 2020. Kedua-dua loji yang bakal dibangunkan ini masing-masing dijangka akan dapat melupuskan sampah sebanyak 3,000 tan dan 2,000 tan sehari dan kini ia sedang di peringkat ke arah pengezonan semula tanah dan pewartaan. Kemudahan-kemudahan ISWMC ini akan mempunyai beberapa fasiliti moden pengurusan pelupusan sampah seperti loji waste-to-energy (WTE) yang terdiri daripada komponen utama, material recovery facility, loji kompos, loji pencernaan anaerobics dan loji pemprosesan sisa pembinaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.