Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
185) TAPAK LOT RUMAH DI TANAH PERTANIAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi memutihkan status tapak-tapak lot ini yang dimiliki tanpa pindah milik yang sah?
Untuk makluman Yang Berhormat, Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (MPPTDPBTNS) Bil. 1/2018 yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Julai 2018 telah bersetuju untuk menolak semua permohonan pendaftaran Surat Ikatan Amanah atas semua sebab bagi semua lot-lot tanah pertanian (lot lidi) di Negeri Selangor. Penolakan ini akan terpakai di Pejabat Tanah Daerah dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor sehingga satu dasar berkaitan dirangka dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Hal ini bagi membendung aktiviti penjualan lot-lot lidi secara berleluasa tanpa mengikut syarat-syarat pembangunan dan pendaftaran hakmilik yang dibenarkan yang memberi kesan langsung kepada pembeli lot-lot lidi berkenaan.
Selain itu, pelbagai medium digunakan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan orang awam seperti informasi berkenaan risiko pembelian lot-lot lidi yang dipamerkan di laman sesawang rasmi Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pejabat-pejabat Tanah Daerah serta melalui media sosial seperti Facebook. Di samping itu, khidmat nasihat berterusan juga diberikan kepada mereka yang hadir ke Pejabat Tanah Daerah mahupun ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.