Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

51) TANAH YANG DISERAH OLEH PEMAJU BAGI TUJUAN PEMBANGUNAN AWAM

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Banyak tanah yang digazetkan untuk tujuan pembangunan awam seperti sekolah, Klinik Kesihatan dan balai polis tidak dapat dimajukan kerana keadaan status tanah yang bercerun dan merbahaya. Adakah pihak Kerajaan Negeri merancang untuk menggantikan tanah-tanah tersebut dengan tanah lain milik Kerajaan Negeri atau milik anak syarikat Kerajaan Negeri?

    Untuk makluman Yang Berhormat, tanah bagi tujuan awam adalah tanah yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri oleh pemaju semasa membangunkan sesuatu kawasan pembangunan bercampur.

    Tanah serahan awam ini terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama adalah tanah serahan yang akan diwartakan dibawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara bagi tujuan awam seperti kawasan lapang, zon penampan, jalan, perparitan dan dewan. Kategori kedua adalah tanah serahan yang akan dipohon oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan seperti sekolah, balai polis dan klinik kesihatan.

    Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa semua perkara teknikal telah diperhalusi dan diteliti semasa permohonan Kebenaran Merancang di Pihak Berkuasa Tempatan untuk dipertimbangkan termasuklah status tanah yang bercerun dan merbahaya untuk dibangunkan.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri tiada cadangan untuk menggantikan tanah-tanah tersebut dengan tanah lain milik Kerajaan Negeri atau milik anak syarikat Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.