Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

125) TANAH WAKAF

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan keluasan tanah wakaf yang diuruskan oleh MAIS bermula dari awal sehingga kini mengikut tahun.

    Urusan wakaf di Negeri Selangor ditadbir dan diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). PWS ditubuhkan atas Titah Perkenan DYMM Sultan Selangor pada tahun 2011. Sebelum dari itu, pentadbiran dan pengurusan wakaf di Negeri Selangor diuruskan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). PWS sebagai agensi rasmi ditubuh melalui Perintah Penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor 2011 & (Pindaan) 2012 yang bertujuan dan kewajipannya untuk menggalakkan, mendorong, membantu, mengusahakan dan memajukan harta dan produk wakaf milik Majlis selaras dengan Hukum Syarak”.

     

    Untuk pengetahuan Dewan, sehingga Oktober 2021 terdapat sejumlah 1425.76 ekar tanah telah didaftarkan atas nama MAIS sebagai Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

     

    Pecahan keluasan tanah wakaf yang telah didaftarkan mengikut tahun adalah seperti berikut:

     

    TAHUN EKAR
    Sebelum 2011 785.63
    2011 49.41
    2012 50.33
    2013 43.16
    2014 41.89
    2015 47.80
    2016 81.07
    2017 82.98
    2018 65.02
    2019 60.39
    2020 52.61
    2021 65.47
    Jumlah Keseluruhan 1,425.76
  2. Apakah yang telah dilakukan ke atas tanah wakaf yang sedia ada? Senaraikan mengikut kategori.

    Terdapat sebanyak 1,313 lot hartanah wakaf dengan keluasan berjumlah 1,425.76 ekar.

    Daripada jumlah tersebut, 92.24% daripada hartanah wakaf tersebut telah dibangunkan dengan tujuan tertentu atas niat pewakaf yang telah dikategorikan sebagai Wakaf Khas. Tujuannya untuk institusi keagamaan, pendidikan dan kebajikan sebagai contoh masjid, surau, tapak perkuburan, sekolah, pusat tahfiz, rumah anak yatim, rumah warga emas dan sebagainya.

    Sejumlah 6.69% daripada hartanah wakaf tersebut juga telah dirancang untuk dimanfaatkan atau dibangunkan dengan cadangan projek pembangunan yang mampu memberi nilai tambah dan meningkatkan ekonomi ummah seperti projek pembangunan perumahan, pembangunan komersil / perniagaan serta pembangunan secara bercampur.

    Manakala sejumlah 1.07% hartanah wakaf yang tidak dapat dimanfaatkan atau dibangunkan disebabkan faktor keluasan yang kecil, berkongsi geran serta kurang memberikan nilai ekonomi, akan dilepaskan / dijual melalui kaedah Istibdal. Hartanah tersebut akan digantikan semula dengan hartanah lain yang sama nilai atau lebih tinggi nilainya. Penjualan hartanah melalui kaedah Istibdal ini dilaksanakan dengan persetujuan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

     

  3. Apakah usaha MAIS dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ciri-ciri wakaf dinamik?

    Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) sebagai pentadbir dan pengurus wakaf bergerak aktif dengan mengadakan pelbagai program dakwah dan penerangan secara bersemuka dan Misalnya penerangan wakaf melalui media sosial rasmi PWS, program di masjid, surau, agensi kerajaan serta agensi swasta. Ini adalah bertujuan untuk membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat. Wakaf juga merupakan satu amalan sunat yang sangat dituntut.

     

    Bagi memudahkan orang ramai untuk berwakaf, PWS juga telah menyediakan beberapa platform antaranya melalui portal FPX PWS (Wakaf Selangor Online), aplikasi SnapNPay dan TULUS. Kaedah ini diperkenalkan selari dengan perkembangan era teknologi terkini yang mana transaksi adalah secara cashless. Pewakaf juga boleh membuat sumbangan wakaf melalui kaedah potongan gaji serendah RM1.00, auto debit serta tabung-tabung wakaf yang ditempatkan di masjid-masjid, surau, institusi kerajaan dan stesen minyak terpilih di sekitar Selangor.

     

    PWS turut mewujudkan kerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad melalui Kerjasama Wakaf Selangor Muamalat (WSM) dan kerjasama dengan institusi pendidikan yang melibatkan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta melalui Kerjasama Wakaf Ilmu. PWS juga melantik ejen-ejen individu dan ejen korporat iaitu Lembaga Zakat Selangor untuk mempromosi dan membuat kutipan Wakaf Tunai.

Lampiran

Tiada Lampiran.