Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
370) TANAH UNTUK MENEMPATKAN RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prosess untuk mewartakan satu tanah kerajaan untuk menjadikan tapak bagi rumah ibadat bukan Islam?
Permohonan perizaban bagi tujuan RIBI perlu melalui 5 proses utama iaitu:-
- Permohonan dan proses di peringkat Pejabat Daerah Tanah (PDT) untuk diangkat dalam mesyuarat Jawatankuasa 5 Agama (LIMAS) bagi mendapatkan pertimbangan.
- Perakuan oleh Jawatankuasa 5 Agama (LIMA)
- Proses di peringkat PTGS untuk kertas pertimbangan kepada YAB Dato’ Menteri Besar selaras dengan Ordinan Perwakilan Kuasa 1984.
- Permintaan Ukur (PU) oleh PDT kepada pihak JUPEM untuk penyediaan pelan akui (PA)
- Penyediaan Siar Warta (PW) oleh Bahagian Undang-undang PTGS
Dimaklumkan bahawa, kuasa melulus perizaban tanah di bawah Seksyen 62 KTN adalah oleh YAB Dato’ MB selaras dengan Ordinan Perwakilan Kuasa 1984.
-
Terdapat keperluan untuk menambah tapak rumah ibadat bukan Islam terutamanya di DUN Seri Kembangan. Apakah syarat-syarat untuk berbuat demikian?
Secara dasarnya, Kerajaan Negeri menggunapakai Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi 4 oleh PLANMalaysia bagi penetapan kriteria untuk penyediaan tapak Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) iaitu setiap kawasan pembangunan yang mempunyai komposisi penduduk seramai 5,000 orang atau sebanyak 1,250 kediaman perlu menyediakan sebuah tapak RISI dengan keluasan 1.5 ekar.
Selain itu, Garis Panduan Hal Ehwal Selain Islam (Pindaan 2018) telah menetapkan syarat-syarat bagi pembinaan bangunan keagamaan selain Islam adalah seperti berikut:
- Setiap permohonan pembinaan bangunan keagamaan hendaklah dipohon atas nama persatuan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Keluasan tanah untuk kegunaan bangunan keagamaan selain Islam sedia ada di tapak adalah mengikut keluasan asal bangunan tersebut;
- Tapak bangunan keagamaan selain Islam tidak boleh ditempatkan di sekeliling loji kumbahan atau pencawang TNB;
- Pembinaan bangunan keagamaan selain Islam adalah tidak dibenarkan di bina di kawasan lapang;
- Penentuan jenis bangunan keagamaan selain Islam adalah ditetapkan mengikut komposisi kaum;
- Ketinggian yang dibenarkan adalah tertakluk kepada garis panduan dan undang-undang yang diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); dan
- Pembinaan bangunan keagamaan selain Islam tidak akan menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam atau lalu lintas.