Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
33) TANAH TOL UNTUK TERNAKAN UDANG
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila senaraikan nama-nama Syarikat atau individu yang telah diberikan TOL dan keluasannya khususnya di persisiran pantai dari Sekinchan ke Tanjung Karang untuk tujuan ternakan Udang ?
Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor tidak mengeluarkan apa-apa kelulusan TOL untuk tujuan ternakan udang sejak tahun 2008.
-
Sila nyatakan apakah implikasi terhadap Ekosistem dan hakisan pantai persekitaran kawasan ternakan Udang yang banyak menebang pokok kayu paya bakau ?
- Hutan paya bakau adalah sempadan antara daratan dan lautan yang mempunyai banyak kepentingan terhadap ekosistem. Semua pesisiran pantai menghadapi bahaya hakisan akibat tindakan ombak dan arus pasang surut. Vegetasi hutan paya bakau dapat menstabilkan pesisiran pantai, tebing sungai dan muara dengan memberi perlindungan dari arus pasang surut, ombak dan ribut.
Keupayaan pokok bakau sebagai agen pemecah ombak semula jadi dapat mencegah, menahan atau mengurangkan risiko kejadian tsunami seperti yang berlaku pada 26hb Disember 2004. Kehadiran satu kawasan bakau yang luas di tepi laut dapat mengurangkan tenaga angin, ombak dan arus.
Pokok bakau juga berupaya menyerap bahan pencemar seperti sebatian nitrogen dan fosforus, mengurangkan pembiakan alga dan bakteria E.Coli, dan menambahkan kandungan oksigen terlarut.
Selain itu, hutan paya bakau juga merupakan tempat yang sesuai bagi pembiakan beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan, kerang di mana hutan ini merupakan tempat hidupan berkenaan menetas dan membesar sebelum kembali ke laut. Jika hilangnya hutan ini ianya bukan sahaja memberi kesan tidak langsung tetapi juga kesan langsung ke atas ekonomi sesebuah negara akibat kehilangan pendapatan dari industri perikanan.
Implikasi penebangan pokok bakau bagi mewujudkan kawasan ternakan udang:
- Risiko berlakunya hakisan pantai. Apabila pokok bakau ditebang tanpa kawalan, ia secara tidak langsung menukar kategori pantai di sesuatu kawasan daripada kawasan yang terlindung kepada kawasan yang terdedah kepada hakisan;
- Risiko banjir berlaku terutamanya pada musim air pasang besar berlaku;
- Hidupan marin seperti kerang-kerangan, ketam dan sebagainya semakin berkurangan, kawasan habitat dan sumber makanan bagi hidupan laut dan darat juga semakin berkurangan;
- Operasi ternakan udang juga berpotensi untuk menyumbang kepada pencemaran khususnya pencemaran air marin. Ini boleh berlaku sewaktu musim menuai di mana air dari kolam udang akan di salur keluar dan seterusnya masuk ke dalam sungai atau laut.
-
Sila nyatakan kenapa tiada tindakan yang diambil oleh Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perhutanan walaupun penduduk kampung telah membuat aduan demi aduan terhadap aktiviti berkenaan ?
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menjalankan siasatan dan pensampelan terhadap pelepasan efluen daripada aktiviti ternakan udang. Daripada ujian pensampelan yang telah dilakukan, terdapat efluen yang melepasi cadangan had pelepasan atau kemasukan bahan pencemar yang terjadual.
Bagi mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap isu ternakan udang ini, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menyediakan draf Peraturan-peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 dan kertas cadangan peraturan ini telah dibentangkan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 Februari 2012.
Apabila Peraturan-peraturan ini diwartakan, pihak premis yang melepaskan efluen melebihi had piawaian adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan kompaun atau denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Maklumat tambahan untuk makluman Yang Berhormat,
Dalam peraturan tersebut, antara aktiviti yang tertakluk adalah aktiviti ternakan udang laut di mana setiap premis yang telah dilesenkan hendaklah mematuhi had piawaian yang telah ditetapkan bagi kualiti efluen yang dilepaskan. Parameter dan had piawaian tersebut adalah seperti berikut :
AKTIVITI HAD KELUASAN/JENIS PARAMETER HAD PIAWAIAN Akuakultur Udang Laut 10 hektar atau lebih Ammoniakal Nitrogen Biological Oxygen Demand (BOD5)
Total Suspenden Solid
50 mg/l 50 mg/l
100 mg/l
Total Nitrogen 10 mg/l Total Phosporus 1 mg/l Nota : mg/l adalah miligram per liter
Kerajaan Negeri melalui LUAS juga kini sedang dalam peringkat penyediaan Pelan Pengezonan Guna Pantai (ICUZP) bagi Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam di mana kolam udang-kolam udang sedia ada juga diambil kira semasa penyediaan pelan tersebut dan tiada cadangan penambahan kawasan ternakan kolam udang.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga berusaha menganjurkan aktiviti kesedaran awam dengan melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memberi pendedahan akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar di samping menjamin bekalan air serta mengekalkan kualiti hidup masyarakat sejahtera. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan melalui LUAS adalah :
- Program Pembersihan Pantai dan Kempen Tanam Pokok Bakau di Hutan Simpan Kuala Sepang pada 1 Oktober 2011, dan
- Program Pembersihan Pantai dan Kempen Tanam Pokok Bakau di Pantai Kelanang pada 26 November 2011.
Pelbagai program kesedaran seperti ini akan dilaksanakan pada tahun ini dalam usaha mendidik masyarakat setempat akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar.