Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

5) TANAH TOL PEMILIK JETI NELAYAN

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status TOL pemilik jeti bagi nelayan-nelayan di Selangor?

    Inventori jeti yang dijalankan oleh LUAS mendapati sebanyak 1350 buah yang telah dibina di dalam Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, jeti nelayan merangkumi sebanyak 1304 buah jeti.

    Berdasarkan rekod dan maklumat yang dikumpulkan, LUAS mendapati jeti-jeti nelayan ini dibina di atas tanah kerajaan tanpa mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah Daerah sama ada melalui kelulusan Lesen Menduduki Sementara (LMS) atau kaedah lain.  Sehingga kini, tiada LMS yang dikeluarkan.

    Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kes pembinaan jeti baru tanpa kelulusan agensi yang telah dikenakan tindakan oleh LUAS dan sedang dalam peringkat pewartaan tapak jeti di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara.

  2. Berapakah jumlah yang dapat dikutip?

    Pada masa ini, tiada sebarang kutipan hasil sama ada melalui Lesen Pendudukan Sementara (LMS) daripada Pejabat Tanah Daerah dan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber (Pembinaan Jeti) oleh LUAS dibuat kerana pembinaan jeti nelayan di atas tanah kerajaan ini tidak mendapat sebarang kelulusan agensi yang berkaitan.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil 16/2008 yang bersidang pada 25 Jun 2008 memutuskan bahawa pengurusan jeti dan kelulusan pembinaan jeti diletakkan di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berdasarkan peruntukan Seksyen 43, Enakmen LUAS, 1999.

    Permohonan mendapatkan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber (Pembinaan Jeti) akan dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS. Jawatankuasa ini dianggotai oleh jabatan dan agensi yang terlibat seperti Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Laut, Pejabat Tanah Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, jabatan Alam Sekitar serta jabatan/agensi lain yang akan dijemput mengikut keperluan.

    LUAS telah mengambil inisiatif untuk menjalankan inventori jeti di Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat lengkap berkenaan jeti-jeti sedia ada. Selain itu, inventori yang dijalankan akan memudahkan perancangan aktiviti jeti pada masa hadapan dan menyelaras data/mapping jeti sedia ada.

    Inventori jeti dijalankan di seluruh Negeri Selangor dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah setiap kawasan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Selangor dan Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

    Pengumpulan data inventori yang dijalankan oleh LUAS mendapati sebanyak 1350 buah jeti yang telah dibina di dalam Negeri Selangor yang merangkumi jeti pendaratan ikan dan jeti komersial seperti pecahan yang berikut :

    1. Jeti pendaratan ikan          : 1304 buah
    2. Jeti komersial : 46 buah

    Lanjutan itu, Kajian Pengurusan Jeti Negeri Selangor dijalankan dengan mengambil kira hasil inventori yang disediakan. Hasil kajian yang dijalankan dapat membantu pihak Kerajaan Negeri di dalam membuat keputusan bagi membolehkan jeti beroperasi secara sah.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.