Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
62) TANAH RIZAB UNTUK SEKOLAH, TADIKA, POLIS, KLINIK, HOSPITAL DAN BOMBA
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan diambil terhadap tanah rizab yang belum dibangun dan bersemak?
Tanah-tanah rizab merupakan tanah kemudahan awam yang diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965. Tanah-tanah tersebut mempunyai pegawai pengawal yang akan mengawalselia tanah tersebut daripada diceroboh atau digunakan bagi tujuan selain dari tujuan asal. Bagi menangani masalah tanah rizab yang belum dibangun dan bersemak, Pihak Kerajaan Negeri dengan persetujuan Pegawai Pengawal boleh mempertimbangkan tanah tersebut untuk dilupuskan secara Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dengan dikenakan syarat-syarat dan bayaran serta cagaran ke atas tanah selagi tanah tersebut belum dibangunkan bagi tujuan perancangan. Dengan cara ini, Kerajaan Negeri akan memperoleh kutipan hasil LPS. Selain itu, tanah tersebut juga dapat dimanfaatkan oleh Rakyat Negeri Selangor dan dapat dikawal.
-
Senaraikan tanah rizab sekolah, tadika, polis, bomba dan hospital di seluruh Selangor belum dibangunkan.
Kerajaan Negeri Selangor tiada maklumat khusus kerana di bawah bidang kuasa Tanah Persekutuan yang merupakan agensi yang menjadi ‘Custodian’ bagi tanah -tanah Kerajaan Persekutuan. Manakala kegunaan/pembangunan atas tanah tersebut adalah tertakluk kepada kementerian/jabatan pengguna (KJP). Justeru itu, senarai tanah-tanah tersebut boleh diperolehi dengan berurusan terus kepada KJP tersebut dengan mengemukakan permohonan secara rasmi bagi mendapatkan senarai tanah-tanah tersebut.
-
Nyatakan tanah rizab sekolah, tadika, polis, bomba dan hospital yang tidak perlu pembangunan masa hadapan.
Keperluan tanah-tanah rizab untuk maksud kemudahan awam adalah :-
1) Selari dengan cadangan pembangunan sesuatu kawasan dan tertakluk kepada Rancangan Tempatan di Pihak Berkuasa Tempatan;
2) Ini kerana tanah-tanah rizab untk tujuan kemudahan awam itu terlahir hasil daripada kelulusan pembangunan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan;
3) Antara ciri-ciri yang akan dipertimbangkan bagi penentuan bahawa sesuatu tanah rizab yang tidak perlu dibangunkan adalah termasuk:
- Tanah Rizab Sekolah: Jika kawasan sekitar sudah mempunyai cukup kemudahan pendidikan, tanah ini mungkin tidak perlu dibangunkan.
- Tanah Rizab Tadika: Sekiranya terdapat cukup tadika di kawasan berkenaan dan permintaan telah stabil, tanah ini mungkin boleh dikekalkan sebagai rizab.
- Tanah Rizab Balai Polis: Jika kawasan tersebut sudah mempunyai kehadiran balai polis yang mencukupi dan statistik jenayah menunjukkan bahawa tidak ada keperluan tambahan.
- Tanah Rizab Bomba: Jika perkhidmatan bomba sedia ada dapat memenuhi keperluan kawasan dan tidak ada pertambahan populasi yang signifikan.
- Tanah Rizab Hospital: Jika hospital dan pusat kesihatan sedia ada mencukupi untuk populasi, tanah ini mungkin tidak perlu dibangunkan.