Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

93) TANAH RIZAB SUNGAI SEBAGAI TAPAK KEBUN BANDAR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan membenarkan tanah rizab Sungai Kuyuh di dalam DUN Seri Kembangan untuk disewa warga Selangor bagi tujuan pertanian?

    Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 4/2015 berdasarkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 10/2015 bertarikh 24 Jun 2015 telah mengeluarkan garis panduan yang baru  bagi pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di atas tanah rizab Kerajaan Negeri Selangor, termasuklah tanah rizab Sungai Kuyuh yang merupakan rizab sungai. Permohonan LPS bagi tujuan pertanian di atas tanah rizab Sungai Kuyuh adalah dibenarkan samada sebagai  Tapak Semaian/ Jualan Pokok Hiasan atau Tanaman Kontan.

  2. Kalau dibenarkan, apakah proses dan kadar sewaan yang akan dikenakan?

    Individu atau syarikat yang berhasrat untuk mengemukakan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) boleh berbuat demikian secara atas talian dengan melayari laman web eTanah Selangor.

    Antara syarat-syarat utama permohonan LPS ialah pihak pemohon perlu  menyediakan pelan pra-hitungan yang menunjukkan dengan jelas keluasan dan kedudukan tanah yang hendak dipohon dan dikemukakan bersama borang permohonan kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).  Tempoh masa kelulusan LPS akan tamat pada 31 Disember setiap tahun  dan boleh diperbaharui setiap tahun dengan maksimum pembaharuan sebanyak 3 kali.

    Setiap permohonan LPS akan dikenakan bayaran fi proses sebanyak RM 50.00  dan RM 40.00 bagi semakan pelan selaras dengan pengenaan di dalam Kaedah Tanah Negeri Selangor. Sekiranya permohonan LPS  diluluskan, kadar bayaran akan dikira berdasarkan formula seperti berikut:-

    10% x nilaian Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) x 12 bulan @ tempoh mengikut bulan sebelum tahun berakhir x luas.

    Contoh kiraan :-

    10% x RM 0.50 per meter persegi x 10 bulan ( Mac 2024 hingga Disember 2024) x 4,000 meter persegi = RM2,000.00.

Lampiran

Tiada Lampiran.