Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

261) TANAH RIZAB MELAYU

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan keluasan terkini tanah rizab melayu di Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) ketika ini sedang mengemaskini data Tanah Rizab Melayu (TRM) di Negeri Selangor bagi tahun 2017.

    Saya akan membentangkan data maklumat mengenai TRM berakhir pada 30 Jun 2016. Setakat tahun tersebut, jumlah keluasan TRM di Negeri Selangor yang telah diwartakan adalah sebanyak 396,245.69 ekar.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, merujuk kepada Seksyen 8(ii), Enakmen Rizab Melayu (ERM), saya ingin menegaskan bahawa tiada apa jua pegangan Melayu boleh dipindahmilik, digadai, dipajak atau dilupuskan dengan cara lain kepada mana-mana orang yang bukannya seorang Melayu dan tiada apa jua memorandum pindahmilik, gadaian atau pajakan yang bertentangan dengan seksyen ini layak untuk pendaftaran di mana-mana Pejabat Tanah atau Pejabat Pendaftaran Hakmilik.

    Walaubagaimanapun, TRM ini boleh dibatalkan status pewartaannya. Namun ERM telah menetapkan supaya semua TRM yang dibatalkan hendaklah diganti. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri memandang serius ke atas penggantian TRM yang telah dibatalkan. Mengikut rekod, jumlah TRM yang telah dibatalkan dari tahun 2010 hingga 2016 adalah sebanyak 133.016 ekar. Manakala, 1,530.345 ekar telah diisytiharkan (digantikan) sebagai TRM. Berikut adalah pecahan jumlah TRM mengikut tahun:

     

    Tahun TRM Batal (ekar) TRM Isytihar (ganti) (ekar)
    2010 9.945
    2011
    2012 50.311 59.195
    2013
    2014 5.705 5.705
    2015 77 77
    2016 1,378.5
    Jumlah 133.016 1,530.345

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan Tanah Rizab Melayu (TRM) yang dibatal digantikan agar terus kekal terpelihara dari segi jumlah keluasannya. Pengarah Tanah dan Galian Selangor telah mengeluarkan Pekeliling PTGS Bilangan 3 Tahun 2015 mengenai Garis Panduan Urusan Pembatalan Dan Penggantian Tanah Rizab Melayu (TRM) Semasa Pengambilan Tanah Bagi Tujuan Awam Atau Kemudahan Awam Bagi Kegunaan Kerajaan Negeri Dan Kerajaan

    Persekutuan Di Negeri Selangor Darul Ehsan yang dikuatkuasakan pemakaiannya di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) pada 20 Mei 2015. Pekeliling ini telah menetapkan sekiranya terdapat TRM yang terlibat dengan pengambilan, TRM yang dibatalkan hendaklah diganti serentak.

    Untuk makluman Yang Berhormat , PTGS telah mendokumentasikan data TRM mengikut daerah di Negeri Selangor dan ia merupakan kompilasi Buku TRM yang pertama diterbitkan di Negara ini dan di dalamnya mengandungi Warta dan Pelan Warta TRM. Sesalinan kompilasi buku ini telah dipersembahkan kepada Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor pada 6 Disember 2016. Saya yakin dan percaya bahawa buku ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan pada masa akan datang.

    Untuk makluman juga, Jawatankuasa Khas Pengurusan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu Negeri Selangor, atau dikenali sebagai JKPPTRM telah ditubuhkan pada Ogos 2014 yang lalu. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi tujuan menambahbaik pengurusan TRM di Negeri Selangor.

    Bidang Kuasa JKPPTRM adalah seperti berikut :

     

    • Mengemaskini jumlah keseluruhan TRM mengikut daerah, termasuk TRM yang telah dibuat pengambilan dan penggantian semula;
    • Menyediakan Cadangan Pelan Penggantian TRM bagi setiap daerah berserta tempoh pelaksanaan penggantian tersebut;
    • Mengadakan mesyuarat berkala bagi membincangkan isu-isu berkaitan TRM dan cadangan penambahbaikan pengurusan TRM secara keseluruhan; dan
    • Memantau penggunaan dan pelaksanaan prosedur berkaitan TRM agar ianya seragam dan selaras dengan KTN, Enakmen Rizab Melayu serta peraturan-peraturan lain yang berkuatkuasa.
  2. Nyatakan keluasan tanah rizab melayu yang ditukar status diganti semula?

    Sama seperti di SUB(a)

Lampiran

Tiada Lampiran.