Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

60) TANAH RIZAB MELAYU

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah tanah Rizab Melayu sehingga kini.

    Untuk makluman Yang Berhormat, mengikut rekod PTGS data Tanah Rizab Melayu (TRM) di Negeri Selangor sehingga Disember 2017. Jumlah keluasan TRM di Negeri Selangor yang telah diwartakan adalah sebanyak 400,246.02 ekar.

  2. Nyatakan keluasan tanah Rizab Melayu yang telah ditebus semula.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, merujuk kepada Seksyen 8(ii), Enakmen Rizab Melayu (ERM), saya ingin menegaskan bahawa tiada apa jua pegangan Melayu boleh dipindahmilik, digadai, dipajak atau dilupuskan dengan cara lain kepada mana-mana orang yang bukannya seorang Melayu dan tiada apa jua memorandum pindahmilik, gadaian atau pajakan yang bertentangan dengan seksyen ini layak untuk pendaftaran di mana-mana Pejabat Tanah atau Pejabat Pendaftaran Hakmilik.

    Walaubagaimanapun, TRM ini boleh dibatalkan status pewartaannya. Namun ERM telah menetapkan supaya semua TRM yang dibatalkan hendaklah diganti. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri memandang serius ke atas penggantian TRM yang telah dibatalkan.

    Mengikut rekod, jumlah TRM yang telah dibatalkan dari tahun 2010 hingga 2017 adalah sebanyak 154.7406 ekar. Manakala, 5,401.2439 ekar telah diisytiharkan (digantikan) sebagai TRM. Berikut adalah pecahan jumlah TRM mengikut tahun:

     

    Tahun TRM Batal (ekar) TRM Isytihar (ganti) (ekar)
    2010 10.0152 7.4688
    2011
    2012 50.3109 59.1952
    2013
    2014 5.705 273.6696
    2015 77 258.3931
    2016 9.6875 4800.1622
    2017 2.022 2.355
    Jumlah 154.7406 5,401.2439

     

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan Tanah Rizab Melayu (TRM) yang dibatal digantikan agar terus kekal terpelihara dari segi jumlah keluasannya. Pengarah Tanah dan Galian Selangor telah mengeluarkan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3 Tahun 2015 mengenai Garis Panduan Urusan Pembatalan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu (TRM) Semasa Pengambilan Tanah Bagi Tujuan Awam Atau Kemudahan Awam Bagi Kegunaan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Negeri Selangor Darul Ehsan yang dikuatkuasakan pemakaiannya di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) pada 20 Mei 2015. Pekeliling ini telah menetapkan sekiranya terdapat TRM yang terlibat dengan pengambilan, TRM yang dibatalkan hendaklah diganti serentak.

Lampiran

Tiada Lampiran.