Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
263) TANAH RIZAB BAGI RIBI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
DUN Seri Kembangan mengalami masalah tiada tanah rizab yang cukup bagi RIBI walaupun penduduk bukan islam di dalam kawasan adalah sangat padat. Apakah usaha kerajaan bagi memastikan tanah yang cukup akan disediakan bagi RIBI dalam kawasan Seri Kembangan?
Selari dengan status Selangor sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, kawasan Seri Kembangan tidak terkecuali daripada isu tanah kosong yang terhad. Peruntukan tanah rizab bagi tujuan keagamaan adalah tertakluk kepada keluasan tanah yang dibangunkan oleh pemaju dalam sesuatu kawasan.
Justeru, bagi memastikan tanah yang cukup disediakan bagi RIBI dalam sesuatu kawasan, Kerajaan Negeri telah menggunapakai Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi 4 yang dikeluarkan oleh PLANMalaysia dan diluluskan pemakaiannya di MMKN ke-15/2022 pada 22 Jun 2022 dan disahkan di MMKN ke-16/2022 pada 6 Julai 2022.
Garis panduan ini telah menetapkan kriteria untuk penyediaan tapak Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) iaitu setiap kawasan pembangunan yang mempunyai komposisi penduduk seramai 5,000 orang atau sebanyak 1,250 kediaman perlu menyediakan sebuah tapak RISI dengan keluasan 1.5 ekar. Sekiranya pembangunan perumahan bertingkat di mana di dalam jarak radius 500 meter yang tiada kemudahan RIBI, satu (1) bilik meditasi dengan keluasan lantai sekurang-kurangnya 600 kaki persegi perlu disediakan oleh pemaju.