Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

178) TANAH REZAB

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah agaknya tanah-tanah ini akan diberi milik (TOL) kepada PBT supaya kutipan sewa dan juga lesen dapat dikeluarkan

    Permohonan TOL bagi premis-premis perniagaan di atas tanah-tanah rizab kerajaan seperti rizab jalan dan rizab sungai tidak diluluskan kecuali bagi permohonan TOL bagi tujuan kediaman selaras dengan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bil.3/2013, Lesen Pendudukan Sementara (LPS) hanya diberikan bagi tujuan kediaman sahaja.

  2. Jika tidak apakah bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pemilik-pemilik yang tidak sah ini?

    Tindakan penguatkuasaan bagi pencerobohan tanah kerajaan akan dijalankan berdasarkan Pekeliling Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Malaysia, Pekeliling Kemajuan Pengurusan Pentadbiran Tanah Bilangan 2/1998 : Panduan Pengurusan Tindakan Penguatkuasaan adalah seperti berikut :

    1. Tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 akan diambil untuk mengusir pemilik-pemilik yang menduduki tanah rizab secara tidak sah yang mana pengeluaran notis di bawah Seksyen 431 (1) dan (2) KTN 1965 secara pentadbiran dipatuhi ;
    2. Tempoh notis tersebut bergantung kepada keperluan / keutamaan kes. Notis penyampaian mesti disertakan bukti penyampaian agar tidak menimbulkan keraguan mana-mana pihak ;
    3. Kerjasama dari agensi-agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bekalan Air (SYABAS) diperlukan untuk melakukan proses pemotongan bekalan kemudahan asas dan pemantauan daripada pasukan penguatkuasaan ;
    4. Tindakan pengusiran secara paksa akan dilakukan apabila tempoh notis luput dan / atau tidak dipatuhi oleh pemilik tanah ;
    5. Pemilik tanah akan diberi tempoh munasabah untuk meroboh sendiri binaan tanpa kelulusan ;
    6. Jika gagal tindakan meroboh akan dilakukan. Semasa tindakan perobohan dilakukan bantuan pegawai polis diperlukan untuk bertugas di tempat operasi.
  3. Tidakkah kerajaan bercadang untuk menyediakan penempatan baru yang tersusun dan premis lama yang tidak sah ini dirobohkan?

    Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memberi penempatan kepada pengusaha-pengusaha perniagaan di atas tanah rizab kerajaan. Walau bagaimanapun, perancangan masih belum dapat dilaksanakan tertakluk kepada kesesuaian lokasi oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.