Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

49) TANAH REZAB MELAYU

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk menawarkan kepada pemilik tanah pajakan yang hampir tamat tempoh pajakannya untuk menukar status tanah mereka kepada rezab Melayu sebagai insentif dan usaha untuk menambah keluasan kawasan pegangan tanah rezab Melayu?

    Untuk makluman YB, Kerajaan Negeri belum mempunyai perancangan khusus untuk ditawarkan kepada pemilik tanah yang hampir tamat tempoh pajakannya untuk menukar status tanah mereka kepada rezab Melayu, sebagai inisiatif dan usaha untuk menambah keluasan kawasan pegangan tanah rezab Melayu.
    Namun, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha secara berterusan untuk mengekalkan keluasan rezab Melayu sedia ada yang berkeluasan 406,042.1999 ekar (data sehingga Disember 2018). Keluasan sedia ada adalah masih dalam keadaan terkawal dan dipantau secara rapi. Pemantauan ini dibuat melalui pemakaian Pekeliling PTGS Bilangan 7/2001 mengenai Dasar dan Garis Panduan Pembatalan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu dan Pekeliling PTGS Bilangan 3/2015 mengenai Garis Panduan Urusan Pembatalan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu (TRM) Semasa Pengambilan Tanah Bagi Tujuan Awam Atau Kemudahan Awam Bagi Kegunaan Kerajaan Negeri Dan Kerajaan Persekutuan Di Negeri Selangor Darul Ehsan.
    Usaha ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia melalui penerimaan Sijil Penghargaan Amalan Terbaik Pengumpulan Data Tanah Rezab Melayu yang telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Dr. Wan Azizah bt. Dr. Wan Ismail semasa Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang diadakan pada 3 Disember 2018.
    Tanah-tanah yang dimiliki oleh orang Melayu yang tidak terletak dalam kawasan tanah rizab Melayu boleh mendapat insentif tanah rezab Melayu dengan syarat mereka perlu memohon menukar status tanah milik mereka kepada tanah rezab
    Melayu pegangan Melayu. Proses ini perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri untuk tanah milik mereka diisytiharkan sebagai tanah rezab Melayu selaras dengan peruntukan Seksyen 3 Enakmen Rizab Melayu Bab 142 (ERM 1933).
    Berdasarkan Pekeliling PTGS Bil.3/1994 mengenai Kelulusan Dasar, Tatacara Dan Pemberian Insentif Bagi Membangunkan Tanah Rizab Melayu Di Negeri Selangor. Antara insentif yang ditawarkan adalah pengurangan kadar premium, caruman parit dan caruman kubur sebanyak 50% dan premium tambahan dikenakan sebanyak 12.5% daripada kadar asal ke atas kelulusan tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.