Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

222) TANAH PERSENDIRIAN

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah penyelesaian terhadap isu salah guna tanah persendirian yang digunakan sebagai tempat transit pasir dari luar Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri  Selangor  melalui  Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) telah mengeluarkan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 1 / 2012 : Pengenaan Fi Tahunan Dan Royalti Ke Atas Longgokan (Stockpile) Pasir Transit Di Negeri Selangor yang bertujuan memberi panduan kepada pengusaha pasir dan pemilik tanah-tanah persendirian bagi tujuan memohon dan mengadakan pusat pelonggokan dan penjualan semula pasir kepada pihak ketiga (stockpiling and transiting to third party). Ia juga memberi peluang kepada pengusaha pasir dan pemilik tanah-tanah tersebut membetulkan kaedah penggunaan tanah mereka melalui saluran yang sah sebelum tindakan penguatkuasaan oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri dilakukan.

     

    Kemudian, mulai 1 Oktober 2014, Kerajaan Negeri Selangor telah menyerahkan pengurusan pasir secara longgokan (stockpiling sand) ini kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sebagai langkah penambahbaikan kecekapan pengurusan pasir di negeri Selangor. Ia juga bertujuan bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri Selangor melalui pengawalseliaan melalui satu agensi. Keputusan Kerajaan Negeri Selangor tersebut telah diedarkan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 2 / 2014 : Pengurusan Permit Pemindahan Pasir Untuk Longgokan Pasir (Stockpile) Transit Di Negeri Selangor.

     

    Kedua-dua Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor ini adalah langkah- langkah dalam menyelesaikan isu longgokan pasir dari luar negeri, sama ada ianya terletak di atas tanah kerajaan, tanah rizab mahupun tanah persendirian, dengan mengenakan fi tahunan dan royalti tertakluk kepada kategori tanah yang berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.