Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

235) TANAH PERKUBURAN ISLAM DAN BUKAN ISLAM

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan ada membiaya projek penambahbaikan/ naik taraf infra tanah kubur Islam dan bukan Islam?

    Satu akaun amanah ditubuhkan dalam akaun amanah disatukan di bawah sub seksyen 9 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 bagi Akaun Amanah Perkuburan. Akaun ini ditubuhkan dengan tujuan seperti berikut:

     

    1. Bagi membolehkan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan caruman perkuburan yang dikutip daripada pemaju atau pemilik tanah yang membangunkan tanah kurang daripada 100 hektar (250 ekar) untuk perumahan/kediaman atau pembangunan bercampur (unit bangunan kediaman sahaja) setelah diluluskan pemberimilikan tanah atau tukar syarat tanah; dan
    2. Bagi menguruskan penerimaan dan pengeluaran wang daripada akaun amanah ini bagi tujuan pembiayaan penyediaan tapak perkuburan atau kos pengambilan tanah bagi perkuburan orang Islam dan bukan Islam atau urusan pembayaran berkaitan dengannya.
  2. Banyak mana tanah perkuburan dalam kawasan di MPKj yang memperoleh biaya berkenaan?

    Mengikut rekod Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), terdapat 62 tanah perkuburan Islam di dalam Daerah Hulu Langat di bawah selenggaraan JAIS manakala tiada tanah perkuburan diselia di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

  3. Apakah cara memohon dan berapakah siling peruntukan yang disediakan?

    Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID). Pihak JAIS seterusnya akan memperakukan permohonan tersebut kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Akaun Amanah Perkuburan Negeri Selangor yang diurusetiakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Siling peruntukan adalah berdasarkan skop projek yang wajar dilaksana di tapak perkuburan berdasarkan kepada pertimbangan Jawatankuasa Akaun Amanah Perkuburan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.