Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

109) TANAH PERKUBURAN BUKAN ISLAM

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan dan garis panduan Kerajaan dalam menyediakan tanah perkuburan bukan Islam?

    Dari sudut perancangan, Kerajaan Negeri melalui PLANMAlaysia@Selangor (JPBD Negeri Selangor) telah menyediakan Laporan Inventori Tanah Perkuburan Negeri Selangor, 2010. Melalui Laporan Inventori tersebut, Kerajaan Negeri telah menganalpasti tahap penyediaan dan keperluan tapak-tapak perkuburan bukan Islam di Negeri Selangor sehingga tahun 2060.

     Perancangan dan penyediaan tapak perkuburan bukan Islam telah diambilkira di dalam dokumen rancangan pembangunan; Rancangan Sruktur Negeri Selangor 2035 (RSN Selangor 2035) yang telah diwartakan pada 2 Februari 2017 di bawah Teras Pembangunan 3: Ke Arah Wilayah Bandar Makmur; Hala Tuju 3 : Pembangunan Kemudahan Keagamaan, Kemudahan Awam, Rekreasi dan Sukan yang Mencukupi, Berkualiti dan Inklusif yang kemudiannya telah mengenalpasti tiga (3) Inisiatif Pelaksanaan iaitu:-

    P3:Menggunapakai cadangan kemudahan keagamaan yang dikemukakan di dalam Rancangan Tempatan;

    P9:Menyediakan Tapak Perkuburan Bukan Islam seperti yang diunjurkan; dan

    P10:Menggalakkan penyediaan kubur awam secara bersepadu dengan mengambilkira keperluan kemudahan-kemudahan sokongan dengan pengurusan yang sistematik dan berkesan.

    Dari sudut garis panduan pula, pembangunan tapak-tapak perkuburan bukan Islam adalah tertakluk kepada Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (MGPPNS) yang terkini. Merujuk kepada Garis Panduan tersebut, Garis Panduan Umum Tanah Perkuburan (KM5-1), telah menyatakan keluasan tapak perkuburan yang perlu disediakan bagi satu-satu pembangunan berkeluasan 250 ekar atau lebih hendaklah menyediakan tapak perkuburan Islam dan bukan Islam seluas lapan (8) ekar dalam kawasan yang dibangunkan untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan dirizabkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan keperluan ruang tanah perkuburan untuk sesuatu kawasan bergantung kepada saiz kubur, kadar kematian, pandangan penduduk setempat terhadap pembakaran dan penggunaan semula tanah perkuburan.

  2. Apakah rancangan Kerajaan dalam pengurusan tanah perkuburan lama yang telah tepu penggunaannya?

    Bagi menangani masalah tanah-tanah perkuburan lama yang telah tepu penggunaannya, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Selangor telah menyediakan Laporan Pengemaskinian Maklumat Unjuran Keperluan Perkuburan Sehingga 2060 (2012) dan telah mengenalpasti tapak-tapak perkuburan bukan Islam di empat (4) buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah tidak mencukupi (tepu) pada tahun 2010 iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

    Bagi tapak-tapak perkuburan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti tapak-tapak perkuburan baru termasuklah tapak perkuburan wilayah bersepadu (PWB) di Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) 400 ekar, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 50 ekar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 24 ekar dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 168.74 ekar yang berfungsi untuk menampung ketidakcukupan tapak perkuburan bukan Islam di PBT-PBT berkaitan.

  3. Apakah status pewartaan tanah perkuburan bukan Islam di zon selatan (kawasan Sepang)?

    Tapak Perkuburan Hindu seluas 16306 mp (4 ekar) di Lot 114881, Pekan Sepang, Daerah Sepang telah diwartakan No.Warta WKNS 2928 bertarikh 12 Julai 2012 (PA 203426).

    Selain dari itu, Tapak Perkuburan Hindu seluas 5058 mp di Plot 99 Kg. Ampar Tenang, Mukim Dengkil, Daerah Sepang dan telah diluluskan oleh YAB. Dato’ Menteri Besar pada 30 Mei 2017.

    Pengambilan tanah seluas 100 ekar di atas Hakmilik Geran 80611 Lot 5758 Mukim Sepang, Daerah Sepang yang akan dihantar kepada YAB. Dato’ Menteri Besar untuk kelulusan pewartaan bagi Tapak Perkuburan Wilayah Bersepadu Daerah Sepang Fasa 1.

Lampiran

Tiada Lampiran.