Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

50) TANAH PERKUBURAN

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana cara gazetkan tanah kubur hindu di satu-satu kawasan?

    Yang Berhormat sekalian, untuk makluman, setiap permohonan perizaban tanah di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 akan melalui empat (4) proses utama iaitu:

    1. Permohonan akan diterima di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang berkenaan dan kertas ringkasan permohonan akan diangkat bagi perakuan dan kelulusan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS);
    2. Setelah mendapat perakuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS), permohonan tersebut akan diproses di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) bagi mendapatkan kelulusan Y.A.B Dato’ Menteri Besar melalui Ordinan Perwakilan Kuasa 1984;
    3. Permohonan yang telah diluluskan akan dikembalikan ke PDT yang berkenaan bagi permohonan Permintaan Ukur (PU) kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Selangor bagi tujuan penyediaan Pelan Akui (PA); dan
    4. Setelah Pelan Akui diterima, permohonan dikemukakan kepada pihak PTGS oleh PDT bagi tujuan penyediaan siar warta.

    Anggaran tempoh masa bagi menyelesaikan proses perizaban tanah di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 ini adalah di antara 90 hingga 180 hari bekerja.

  2. Masalah kekurangan kawasan tanah perkuburan akibat dari ketidaksama imbang antara kaum di sesuatu penempatan penduduk. Apakah jalan penyelesaian yang perlu untuk mengatasi masalah ini?

    Perancangan dan pembangunan tanah khususnya di Negeri Selangor dikawal melalui dokumen perundangan iaitu Rancangan Tempatan Daerah (RTD). Untuk makluman Yang Berhormat, semua daerah di Negeri Selangor, melalui PLANMalaysia@Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyediakan dan mewartakan RTD untuk digunakan dalam daerah masing-masing. Dokumen ini disediakan selaras dengan peruntukan perundangan di dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

    Rancangan Tempatan Daerah (RTD) ialah suatu dokumen rasmi yang mengandungi peta cadangan perancangan bagi setiap keluasan tanah dalam setiap kawasan PBT mengikut lot tanah yang merangkumi aspek gunatanah seperti perumahan, perniagaan, industri, alam sekitar, kemudahan masyarakat (termasuk perkuburan) infrastruktur dan utiliti, lanskap, lalulintas dan lain-lain.

    Dalam proses penyediaan dokumen Rancangan Tempatan Daerah (RTD) ini, pelbagai peringkat kajian terperinci, publisiti dan penglibatan awam telah dilaksanakan sebelum dokumen ini diwartakan selaras dengan Seksyen 12, 13, 14 dan 15, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)Oleh yang demikian, perkara berkaitan penyediaan tanah perkuburan termasuklah demografi setempat telah diambilkira dan dianalisis sebelum dokumen RTD diwartakan.

    Selain itu, merujuk kepada Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (MGPPP) Edisi Keempat yang merupakan dokumen yang berperanan sebagai alat untuk mengawal pembangunan fizikal di Negeri Selangor khususnya. Dokumen ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 16/2022 pada 6 Julai 2022.  MGPPP Negeri Selangor ini juga mengandungi garis panduan dan piawaian yang merangkumi hampir kesemua aspek utama perancangan dan pemajuan hartanah yang terdiri dari perumahan, perniagaan, perindustrian, kemudahan masyarakat, alam sekitar serta infrastruktur dan utiliti.

    Di dalam Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (Edisi Keempat) bab KM5-1, Garis Panduan Umum Tanah Perkuburan dan bab KM5-2, Perkuburan Islam, Cina, Hindu, Sikh dan Kristian telah menerangkan dengan terperinci garis panduan dan piawaian perancangan. Sebagai contoh, dalam perancangan pembangunan sesebuah bandar baharu, penyediaan kemudahan tanah perkuburan telah dinyatakan dengan jelas bersama spesifikasi yang diperlukan.

    Oleh yang demikian, berdasarkan dokumen MGPPP ini, isu berkaitan kekurangan penyediaan tanah perkuburan serta ketidakseimbangan penyediaan tanah perkuburan antara kaum bukan isu utama kerana telah dirancang dan dikawal dengan baik melalui dokumen RTD dan MGPPP yang digunapakai di semua peringkat daerah dan negeri. Di peringkat PBT juga, setiap Kebenaran Merancang (KM) turut merujuk kepada kepada kedua-dua dokumen ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.