Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
244) TANAH PAJAKAN 99 TAHUN
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah dasar Kerajaan Negeri kepada tanah pajakan 99 tahun yang telah tamat tempoh?
Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(a) Kanun Tanah Negara, tanah hakmilik yang telah tamat tempoh pajakan yang ditetapkan dalam dokumen hakmilik hendaklah kembali menjadi Tanah Kerajaan dan akan terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri. Oleh itu, semua tanah hakmilik yang telah tamat tempoh pajakan, akan menjadi Tanah Kerajaan. Secara dasar tanah sebegini akan tertakluk kepada tindakan pelupusan sebagaimana Tanah Kerajaan yang lain di bawah bidang kuasa PBN melalui Seksyen 42 Kanun Tanah Negara.
-
Nyatakan prosuder Kerajaan Negeri untuk mengambil alih semula tanah yang telah tamat tempoh pajakan.
Untuk makluman, tanah yang telah tamat tempoh pajakan akan kembali menjadi Hak Kerajaan. Berdasarkan Pekeliling PTGS Bil. 6/2011 (Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Di Negeri Selangor) dan Pekeliling KPTG Bil. 4/2008, pemilik boleh memohon melanjutkan tempoh pajakan tanah miliknya sebelum tamat tempoh pajakan melalui permohonan di bawah Seksyen 197 dan 76 Kanun Tanah Negara.
Bagi pemohon atau pemilik yang masih mempunyai tempoh pajakan, pengiraan premium akan ditolak dengan baki tempoh pajakan yang ada dengan syarat, kategori dan syarat nyata tanah adalah sama dengan hakmilik terdahulu. Walau bagaimanapun, melalui pindaan Kanun Tanah Negara yang berkuatkuasa pada 1Januari 2017, pemohon boleh mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 90A KTN. Seksyen 90A Kanun Tanah Negara yang baru diwujudkan ini bertujuan memudahkan permohonan melanjutkan tempoh pajakan dengan menggunakan satu urusan tanpa melalui proses penyerahan balik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara.
Manakala tanah yang telah tamat tempoh pajakan, pemilik asal masih boleh dipertimbangkan untuk pemberimilikan melalui peruntukan Seksyen 76 KTN bagi tempoh pajakan yang baru sehingga 99 tahun.