Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

58) TANAH IWK BAWAH KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai apa-apa inisiatif ataupun perancangan terhadap tanah-tanah IWK yang tidak lagi digunakan di bawah Negeri Selangor?

    Pada 26 Oktober 1999, Majlis Tanah Negara telah membuat keputusan bahawa tanah-tanah pembetungan awam hendaklah dirizabkan oleh kerajaan negeri dibawah Seksyen 62 KTN sebagai ‘simpanan pembetungan’ dimana Pesuruhjaya Tanah Persekutuan adalah Pegawai Pengawal dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Pembetungan  adalah sebagai Pegawai Penyelenggara.

     

    Untuk makluman, IWK adalah sebuah syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan melalui Perjanjian Konsesi yang dimeterai pada 9 Disember 1993 untuk melaksanakan obligasi berkaitan pengurusan operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan awam yang dibina di atas rizab pembetungan bagi pihak Kerajaan Persekutuan untuk memastikan perkhidmatan secara efisien untuk kesejahteraan rakyat.

    Berdasarkan perundangan sediada, kerajaan negeri tidak mempunyai hak eksekutif ke atas tanah-tanah tapak pembetungan yang telah tidak digunakan lagi memandangkan tapak tersebut telah dirizabkan untuk kegunaan pembetungan sebagaimana keperluan di peringkat kelulusan perancangan dan perizapan tanah.

    Sehubungan dengan itu, sekiranya pihak  kerajaan negeri mempunyai sebarang inisiatif ataupun perancangan ke atas tanah-tanah pembetungan yang tidak digunakan lagi maka pihak kerajaan negeri perlu memohon kepada pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) selaku Kementerian yang bertanggungjawab di dalam perkara-perkara dasar yang berkaitan sistem pembentungan awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.