Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
123) TANAH DAN HUTAN SIMPAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana prosuder pengeluaran permit kegunaan untuk aktiviti pertanian di hutan simpan?
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melaksanakan prosedur pengeluaran permit penggunaan (Borang 4) mengikut kaedah-kaedah yang termaktub dalam Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 atau mana-mana keputusan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Sekiranya JPNS menerima mana-mana permohonan permit penggunaan bagi tujuan pertanian, JPNS akan memproses permohonan tersebut dengan menyemak status kawasan permohonan, membuat semakan dan penilaian di lapangan dan akan membentangkan permohonan tersebut di peringkat mesyuarat jawatankuasa bagi permohonan yang berkeluasan empat (4) hektar ke bawah. Bagi permohonan yang melebihi 4 hektar, permohonan tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan dan kelulusan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri (PBN). JPNS akan memproses surat kelulusan atau maklum balas kepada pemohon sekiranya permohonan tersebut dipertimbangkan atau sebaliknya.
-
Adakah kerajaan membenarkan hutan simpan boleh dipajak oleh mana-mana individu atau agensi? (Pajak atas pajak)
JPNS boleh memproses pengeluaran permit penggunaan (Borang 4) kepada mana-mana pemohon yang berjaya dengan tempoh pajakan sepuluh (10) tahun atau bergantung kepada keadaan semasa. Walau bagaimanapun, permit penggunaan yang telah diluluskan terhadap mana-mana individu atau syarikat tidak boleh dipajak terhadap pihak ketiga dan perkara ini adalah selaras dengan syarat tambahan pada dokumen permit penggunaan yang menyatakan bahawa permit penggunaan tidak boleh dipajak kepada mana-mana individu atau syarikat. Walau bagaimanapun sekiranya terdapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri, sesetengah permit penggunaan seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) boleh memajak kawasan permit mereka kepada pengusaha – pengusaha kecil.
-
Adakah kerajaan boleh memberi kebenaran menduduki hutan simpan tujuan penternakan atau pertanian?
Selaras dengan Seksyen 34, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, Pihak Berkuasa Negeri melalui JPNS membenarkan pengeluaran Permit Penggunaan untuk beberapa tujuan. Dalam hubungan ini, Permit Penggunaan bagi tujuan penternakan adalah tidak dibenarkan manakala permit penggunaan bagi tujuan pertanian pula adalah dibenarkan dan kelulusan ini juga adalah tertakluk kepada jenis pertanian yang akan dijalankan.