Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
349) TANAH DAN GERAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan kerajaan agar kes pindah milik tanah tidak sah di Selangor tidak akan berulang lagi?
Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sistem e-Tanah agar kes pindah milik tanah tidak sah di Selangor tidak akan berulang lagi. Beberapa langkah penambahbaikan yang dirancang dan sedang dilaksanakan termasuk:
- Mewajibkan pelaksanaan pengesahan biometrik kepada kedua-dua pihak penjual dan pembeli bagi urusniaga pindah milik tanah yang melebihi nilai RM1 juta bagi hakmilik Pentadbir Tanah dan RM5 juta bagi hakmilik Pejabat Pendaftar;
- Memperkemas prosedur permohonan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ketat termasuk pengesahan identiti oleh peguam berdaftar bagi setiap penyaksian urusan pindah milik tanah;
- Memastikan hanya peguam dan firma yang berdaftar sahaja dibenarkan membuat perserahan pindah milik tanah bagi urusan yang diwakili oleh peguam;
- Mengadakan latihan berkala kepada pegawai Pejabat Tanah/ Daerah dan pengguna sistem bagi memastikan mereka memahami peraturan terkini yang berkuatkuasa serta cara-cara mengenalpasti penipuan; dan
- Menjalankan kempen kesedaran kepada pemilik tanah bagi memastikan mereka memahami prosedur sah dalam pindah milik tanah dan sentiasa membuat semakan hak milik dari semasa ke semasa dengan membuat Carian Persendirian setiap tahun.
-
Apakah SOP penempatan pegawai di Pejabat Tanah Bahagian Pengurusan Tanah?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) U.P.2.2.2 mendefinisikan penempatan bermaksud proses menempatkan seseorang pegawai yang dilantik kali pertama atau seterusnya atau memangku atau dinaikkan pangkat bagi mengisi sesuatu jawatan dalam Perkhidmatan Awam.
Asas penempatan / pertukaran penjawat awam di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor termasuklah di Pejabat Tanah dan Daerah adalah berdasarkan kriteria seperti berikut:
- kelayakan, pengalaman, pengkhususan dan kemahiran pegawai dengan deskripsi kerja/ jawatan;
- kecenderungan, minat, personaliti dan kesesuaian pegawai dengan jawatan yang hendak diisi;
- pelaksanaan sesuatu projek/ program yang sedang diuruskan oleh pegawai;
- pembangunan dan landasan kerjaya (career-path) pegawai;
- perancangan penggantian;
- pengukuhan dan pemantapan organisasi melalui penempatan pegawai yang bersesuaian;
- peningkatan pengalaman dan kemahiran pegawai;
- keberkesanan dan imej pegawai; dan
- kesejahteraan dan kebajikan pegawai.
Memandangkan pegawai-pegawai awam di Negeri Selangor terdiri daripada pegawai-pegawai lantikan Persekutuan dan lantikan Negeri, Kerajaan Negeri melaksanakan pusingan kerja yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 14 Mei 2024 dengan dasar seperti berikut.
- Pegawai diberikan penempatan baharu selepas tiga (3) hingga lima (5) tahun berkhidmat sekiranya pegawai ditempatkan di perjawatan sensitif.
- Pegawai diberikan penempatan baharu selepas lima (5) hingga tujuh (7) tahun berkhidmat sekiranya pegawai ditempatkan di perjawatan tidak sensitif.
-
Apakah tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mengetahui tanah dan geran dipindah milik penama lain?
Sekiranya seseorang pemilik tanah mendapati bahawa tanah dan geran telah dipindah milik kepada penama lain tanpa kebenaran, tindakan berikut perlu diambil segera:
- Pemilik tanah perlu segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk merekodkan kejadian dan mendapatkan siasatan lanjut;
- Pemilik tanah perlu mengemukakan aduan kepada Pejabat Tanah/ Pejabat Daerah di mana hartanah itu didaftarkan dengan menyertakan dokumen sokongan seperti salinan geran tanah, laporan polis, kad pengenalan dan bukti pemilikan bagi membolehkan pihak berkuasa menyemak status pemindahan tersebut;
- Pemilik tanah juga boleh mendapatkan khidmat peguam yang berpengalaman dalam kes hartanah untuk memfailkan tindakan undang-undang bagi membatalkan pemindahan hak milik yang tidak sah; dan
- Pemilik tanah dinasihatkan untuk menyemak status hartanah mereka secara berkala dengan melakukan Carian Persendirian melalui sistem e-Tanah atau di kaunter bagi memastikan tiada perubahan pemilikan yang mencurigakan.