Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
269) TANAH DALAM KAWASAN KAMPUNG
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Tanah dalam kawasan kampung yang telah diduduki oleh penghuni tanpa mempunyai geran tanah, adakah Kerajaan Negeri mempunyai SOP kepada mereka untuk memohon tanah yang telah diduduki berpuluh tahun?
Bagi tanah dalam kawasan kampung yang telah diduduki oleh penghuni tanpa mempunyai geran tanah, penduduk boleh memohon tanah secara pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) Pemberimilikan tanah adalah sebahagian daripada kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk melupuskan Tanah Kerajaan berdasarkan Seksyen 43 KTN 1965.
Selain daripada syarat-syarat utama yang dinyatakan dalam Seksyen 43 KTN 1965, Kerajaan Negeri juga melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) telah mengeluarkan Pekeliling-Pekeliling dan Arahan-Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor seperti :
- Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 6 Tahun 2011 mengenai Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian di Negeri Selangor; dan
- Pemberimilikan Tanah Kerajaan bagi tujuan bangunan perniagaan dan perindustrian melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 6/2010 mengenai Garis Panduan Pelupusan Tanah Kerajaan Melalui Kaedah Jualan di Negeri Melalui polisi ini hanya dua (2) kaedah pelupusan iaitu pelupusan tanah secara jualan terus atau secara tender.
Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh menerima permohonan daripada individu atau syarikat yang mematuhi Seksyen 43 KTN 1965 dan pemohon mengemukakan Borang Permohonan Jadual 1 kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Permohonan tersebut akan diangkat untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Walau bagaimanapun, asas pertimbangan yang digunakan untuk menimbang permohonan individu bagi tujuan kediaman perlulah selaras dengan Pekeliling PTGS Bilangan 6/2011 yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2011. Pemberimilikan akan dipertimbangkan kepada pemohon yang telah mengusaha dan mendiami tapak sekurang-kurangnya tiga (3) tahun pada tarikh 1 Januari 2008.