Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
41) TANAH ASRAMA YAYASAN SELANGOR
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor tetap mahu meneruskan projek pembangunan di atas tanah Asrama Tun dr Ismail dan Toh Puan Norashikin. Mengapakah kerajaan negeri tidak prihatin dengan nasib anak-anak penghuni asrama dan bagaimanakah penempatan mereka bagi meneruskan pelajaran?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dengan nasib anak-anak penghuni asrama. Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Selangor seharusnya dilihat lebih prihatin kerana melaksanakan penempatan semula pelajar di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL).
Penempatan semula dibuat kerana memandangkan keadaan persekitaran kawasan Asrama yang dirasa kian tidak kondusif kerana semakin dihimpit pembangunan yang dikhuatiri berisiko dari segi faktor keselamatan dan gangguan lain. Selain itu, faktor banyak masa yang terbuang di perjalanan pelajar daripada asrama ke sekolah setiap hari merugikan masa dan tenaga.
Justeru, atas dasar prihatin, pelan penempatan semula pelajar asrama AYSKL dibuat secara terancang dengan persetujuan ibubapa. Pelajar yang terlibat dengan penempatan semula adalah terdiri daripada pelajar Tingkatan 2 (2012) dan 4 (2012), sementara pelajar tingkatan 3 (2012) dan 5 (2012) yang terlibat dengan peperiksaan PMR dan SPM pada tahun 2012 kekal tinggal di asrama AYSKL.
Pelajar yang terlibat dengan penempatan semula diberi pilihan sama ada mahu berulang dari rumah ke sekolah lama atau ke sekolah baru atas pilihan sendiri, ataupun ditempatkan di Asrama Pusat dan Asrama Daerah lain.
Pelajar yang berulang dari rumah diberikan Biasiswa dan kemudahan tuntutan untuk bayaran kelas bimbingan (tuisyen). Pelajar di Asrama Pusat dan Daerah akan menikmati kemudahan seperti pelajar Yayasan Selangor yang lain dan seperti yang mereka nikmati sebelum ini.
Semua sekolah yang terlibat dengan program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor merupakan sekolah-sekolah terpilih yang dicadangkan dan diluluskan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan dan sama taraf dari segi kemudahan.
Semua pelajar yang terlibat dengan penempatan semula masih kekal sebagai pelajar Yayasan Selangor dalam program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor dan akan terus dipantau oleh Pengurusan Yayasan Selangor dari semasa ke semasa. Maka, seharusnya tidak timbul Yayasan Selangor tidak prihatin kepada mereka.
-
Apakah bentuk pembangunan baru yang akan dibangunkan di atas tanah tersebut?
Yayasan Selangor akan memilih pemaju yang akan membina sebuah hotel di atas lot 545 secara Bina, Kendali, dan Serahkembali (Build Operate and Transfer – BOT). Pemaju akan membayar kadar sewaan yang akan ditentukan dalam tempoh sewaan yang juga akan ditentukan kelak mengikut jangka waktu kautsemula (recovery period) jumlah modal yang dilaburkan oleh pemaju. Segala kos pembangunan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.
Di atas lot 544 pula Yayasan Selangor akan membangunkan secara usahasama pembinaan campuran (mixed development) dengan nisbah syer 30:70 dengan pemaju yang akan dipilih. Sebahagian dari hasil jualan bahagian syer Yayasan Selangor akan diperuntukkan untuk membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor untuk menggantikan Asrama Tun Dr. Ismail dan Toh Puan Norashikin di Kampong Pandan. Asrama di Kg. Pandan tidak akan dirobohkan sehingga SBP di Bestari Jaya itu siap dan sedia untuk diduduki.
SBP ini bakal berupaya menempatkan seramai 1,000 pelajar dan akan dilengkapkan dengan segala kelengkapan yang jauh lebih baik daripada manamana sekolah bestari di negara ini.
-
Syarikat manakah yang diberikan projek pembangunan tersebut?
Projek ini sedang dalam proses tender yang bermula dari 11hb Disember 2011 dan dijangka akan ditutup pada 11hb April 2012. Tender ini telah dibuka kepada semua pemaju-pemaju dalam dan luar negara.