Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

278) TANAH

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah permohonan dan keluasan tanah kosong yang telah diluluskan kerajaan mengikut daerah sejak 2010 hingga 2014?

    Jumlah permohonan dan keluasan tanah kosong yang telah diluluskan Kerajaan mengikut daerah sejak 2010 hingga 2014 adalah seperti di Lampiran A.

    KELUASAN TANAH DAN JUMLAH PERMOHONAN YANG TELAH DILULUSKAN PEMBERIMILIKAN DI BAWAH SEKSYEN 76 KTN DARI TAHUN 2010 HINGGA 2014

     

     

    Bil

     

    Daerah

    Bilangan Permohonan Bilangan

    Permohonan Yang Telah Diluluskan

    Keluasan (ekar)
    1. Hulu Selangor 305 305 600.28
    2. Hulu Langat 1,891 863 25,116.11
    3. Kuala Selangor 203 156 1,619.33
    4. Klang 65 68 98,118.19
    5. Sepang 604 604 1,681.43
    6. Gombak 800 800 65,520.50
    7. Petaling 370 370 543.15
    8. Kuala Langat 1,925 136 562.57
    9. Sabak Bernam 1,292 1,292 5,105.79
    JUMLAH 7,455 4,594 198,867.35
  2. Apakah dasar kerajaan terhadap pencerobohan hutan simpan bagi kegunaan pertanian?

    Dasar Kerajaan Negeri Selangor sekarang adalah tidak membenarkan mana- mana kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) diceroboh bagi kegunaan pertanian. Ini adalah kerana usaha kerajaan bagi memastikan  keluasan hutan adalah pada kadar minimum 30% berbanding dengan keluasan Negeri Selangor.

    Bagi kawasan yang telah lama diterokai, bancian terperinci akan dibuat untuk pengeluaran permit penggunaan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 di bawah subseksyen 33 (2) yang membenarkan Pihak Berkuasa Negeri untuk mengeluarkan permit bagi menduduki atau menjalankan apa-apa aktiviti di dalam Hutan Simpanan Kekal.

    Namun demikian, bagi kawasan yang baru diterokai atau dicerobohi untuk tujuan pertanian, Jabatan Perhutanan akan segera melaksanakan operasi bersepadu dengan memusnahkan apa juga tanaman yang ditanam dan digantikan dengan spesies-spesies pokok hutan.

     

  3. Adakah kerajaan bersedia meluluskan permohonan tanah kosong kepada belia untuk tujuan aktiviti pertanian?

    Kerajaan Negeri tiada halangan ke atas permohonan daripada mana-mana pihak. Walau bagaimanapun, pemohon hendaklah mematuhi syarat pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan kelulusan adalah tertakluk kepada pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Lampiran

Tiada Lampiran.