Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
228) TANAH
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah kadar bayaran permohonan dan premium tanah semasa bagi mendapatkan geran di negeri Selangor bagi Kampung Tradisional Melayu, Kampung Baru Cina dan India?
Kadar bayaran permohonan bagi Pembelian Borang Jadual 1 adalah sebanyak RM 50.00 manakala kadar premium dikenakan mengikut Pekeliling PTGS Bilangan 6/2011 iaitu:-
¼ x 1/100 x nilaian tanah yang diluluskan x 99 tahun x luas
Pemohon diberi pilihan untuk menjelaskan bayaran premium berdasarkan kaedah berikut:
Kaedah Pertama
- Bayaran secara sekaligus dengan diskaun 30% daripada premium yang dikenakan.
- Sekatan Kepentingan
Tanah ini boleh dipindahmilik, dipajak dan digadai dengan kebenaran Pihak berkuasa Negeri.
Kaedah Kedua
Bayaran nominal RM1,000.00. Pemohon perlu menjelaskan bayaran khas tanah pada kadar ¼ x1/100x nilaian tanah yang diluluskan x 99 tahun x luas apabila tanah tersebut hendah dipindahmilik melalui proses jualbeli
- Sekatan Kepentingan
- Tanah ini boleh dipindahmilik, dipajak dan digadai dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri
- Pemilik tanah hendaklah menjelaskan bayaran khas tanah berdasarkan kadar kadar ¼ x1/100x nilaian tanah yang diluluskan x 99 tahun x luas kepada Kerajaan Negeri sebelum apa-apa urusan pindahmilik melalui kaedah jual beli didaftarkan atau permohonan mengubah kategori dengan syarat nyata tanah baru didaftarkan. (nilaian yang dikenakan adalah berdasarkan nilai daripada JPPH semasa hakmilik tersebut hendak dijual)
- Kaveat Pendaftar hendaklah diendoskan dan dibatalkan setelah bayaran khas tanah
Pemohon juga dikenakan premium khas kerana telah mengusahakan/menduduki tapak sebelum diluluskan dengan perkiraan seperti berikut:
Premium Khas:
Cukai tahunan x tempoh lama mengusahakan tanah.
-
Bagaimana proses permohonan tanah untuk tujuan bangunan kediaman bagi pemohon yang mempunyai Lesen Menduduki Sementara (LMS) dan tidak mempunyai LMS tetapi telah menduduki / peneroka tanah tersebut lebih 30 tahun?
Untuk makluman Yang Amat Berhormat, Lesen Pendudukan Sementara adalah suatu bentuk permit kebenaran yang dikeluarkan setelah kelulusan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan ianya bersifat sementara seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 65 Kanun Tanah Negara dimana ianya boleh dipertimbangkan ke atas tanah rizab yang tidak/belum digunakan untuk tujuan ianya dirizabkan. Pihak Berkuasa Negeri hanya akan mempertimbangkan permohonan di atas tanah kerajaan sahaja tertakluk kepada ulasan daripada agensi teknikal. Peneroka / Penduduk yang telah mempunyai LMS di atas tanah kerajaan sahaja boleh mengemukakan permohonan melalui Sistem e-tanah dan pemohon perlu membeli pelan untuk kawasan yang dipohon sebelum dikemukakan semula ke Pejabat Tanah Daerah.
-
Apakah status terkini program pemutihan Kampung Tradisi Melayu yang sedang dalam tindakan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) terhadap ‘pemutihan bangunan kediaman yang dibina di atas tanah pertanian di pinggir bandar' masih belum mendapat geran dalam negeri Selangor serta senaraikan kampung-kampung tersebut semenjak program pemutihan ini bermula sehingga yang terkini 2024?
Inisiatif program pemutihan kampung tradisi Melayu sedang dalam tindakan Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) yang bertumpu kepada ‘pemutihan bangunan kediaman yang dibina di atas tanah pertanian di pinggir bandar’ seperti keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 12/2014 bertarikh 26 Mac 2014, serta keputusan MMKN ke 13/2017 bertarikh 05 April 2017. Inisiatif ini sedang disusuli oleh pihak PTGS yang sedang memperincikan kaedah pelaksanaan bersesuaian mengikut perundangan yang berkuatkuasa