Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
221) TANAH
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan negeri bercadang untuk menyediakan dana khas bagi membantu golongan yang ingin membina rumah kediaman di atas tanah milik keluarga
Buat masa kini, kerajaan negeri tiada perancangan dan cadangan untuk menyediakan dana khas bagi membantu golongan yang ingin membina rumah kediaman di atas tanah milik keluarga. Namun, di bawah Jawatankuasa Kerajaan Prihatin, Program Bantuan Rumah ada menyediakan bantuan rumah bina baru dan baikpulih rumah sedia ada. Pemberian ini adalah percuma berdasarkan siasatan yang akan dijalankan selaras dengan prosedur dan syarat– syarat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerajaan Prihatin seperti di LAMPIRAN A
Pemilihan pemohon akan dilaksanakan secara teliti supaya yang menerima bantuan rumah tersebut benar – benar miskin dan daif yang tidak mampu untuk memliki tempat tinggal yang selesa. Bagi pembinaan rumah baru, pemohon perlu merobohkan keseluruhan rumah asal yang diduduki yang berada di atas tanah persendirian atau sendiri. Baikpulih akan diberikan kepada rumah yang masih boleh diduduki tetapi perlu dibaiki yang berada di atas tanah persendirian atau sendiri.
-
Berapakah tempoh masa yang diambil oleh kerajaan negeri bagi kelulusan hak milik tanah?
Permohonan bagi mendapatkan kelulusan hakmilik individu boleh dilaksanakan dalam tempoh minimum 6 bulan. Walau bagaimanapun, bagi permohonan secara berkelompok yang memerlukan bancian, ianya akan mengambil masa minimum 12 bulan tertakluk kepada penyediaan pelan susunatur yang lengkap dan tiada bantahan ke atas senarai nama pemohon yang diluluskan.
-
Adakah kerajaan mempunyai rancangan bagi melaksanakan program pembesaran kampung?
Kerajaan Negeri mempunyai rancangan bagi melaksanakan program pembesaran kampung, tetapi buat masa ini program tersebut masih di peringkat perancangan.
LAMPIRAN A
Syarat- syarat memohon Program Kerajaan Prihatin adalah seperti berikut:
- Terbuka kepada Anak Selangor atau pemohon yang bermastautin di Negeri Selangor melebihi daripada 15 tahun.
- Pemohon-pemohon yang bukan kelahiran Negeri Selangor mestilah dibuktikan telah menduduki kawasan berkenaan tidak kurang daripada lima belas (15) tahun. Bukti diperoleh daripada ADUN Kawasan, Penghulu Mukim berkenaan, JKKK serta Ketua Kampung kawasan berkenaan;
- Pendapatan isi rumah pemohon hendaklah di bawah RM1,500.00
sebulan;
- Umur pemohon adalah di antara 50 tahun hingga 65 tahun sahaja kecuali Orang Kurang Upaya (OKU);
- Hanya ketua keluarga sahaja yang layak memohon dan ketua
keluarga mestilah merupakan ketua keluarga bagi isteri pertama sahaja;
- Hanya satu keluarga sahaja yang layak menerima bantuan rumah
- Keadaan rumah pemohon adalah daif dan tidak sesuai untuk diduduki. Kerosakan asas sahaja akan dipertimbangkan untuk tujuan baikpulih;
- Rumah pemohon mestilah berada di kawasan perkampungan tradisi / kampong baru / tanah lot persendirian yang mana rumah tersebut di atas tanah milik sendiri / tanah T.O.L (Temporary Occupation License) yang diberi kebenaran olehPejabat Tanah Daerah.
- Mempunyai tapak untuk membina kediaman baru. Kedudukan tapak mestilah berdekatan dengan punca bekalan air dan elektrik dan bukan kawasan banjir. Sekiranya tapak tiada punca air dan elektrik, penerima bantuan bersetuju untuk menanggung kos pemasangan bekalan air dan elektrik;
- Bagi bantuan bina baru, rumah pemohon perlu dirobohkan;
- Pemohon dikehendaki untuk melampirkan surat kebenaran menduduki / suratkuasa menduduki daripada tuan / pemilik tanah sekiranya tanah bukan hakmilik pemohon;
- Terdapat bukti bahawa rumah berkenaan diduduki pemohon dan tanggungannya;
- Pemohon yang memperoleh Tanah Kurniaan Kerajaan tidak akan dipertimbangkan untuk bantuan rumah;
- Rumah yang sedang dalam pembinaan atau terbengkalai tidak akan dipertimbangkan;
- Pemohon yang menumpang tidak layak dipertimbangkan;
- Mangsa bencana alam yang telah mendapat bantuan baik pulih rumah daripada Lembaga Zakat Selangor atau Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor tidak layak menerima bantuan rumah Program
KerajaanPrihatin;
- Pemohon yang berjaya adalah tertakluk untuk pemulangan surat penerimaan tawaran bantuan rumah dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat tersebut;
- Semua keputusan permohonan bergantung kepada pertimbangan Jawatankuasa Pemilihan yang bersidang.