Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

130) TAMAN WARISAN, RANCANGAN BUKU HIJAU DAN TANAH RANCANGAN RANJAU & DEBOI

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah Taman Warisan, di manakah lokasi-lokasinya di negeri Selangor, di bawah agensi manakah pentadbirannya dan apakah nombor-nombor gazet sekiranya lokasi-lokasi tersebut telah digazetkan.

    Pelancaran Taman Warisan Selangor telah disempurnakan oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri sempena pengisytiharan Negeri Selangor Maju pada 27 Ogos 2005. Taman Warisan Selangor berkeluasan 107,000 ha merangkumi tiga (3) daerah pentadbiran iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat. Kawasan ini terletak di sepanjang Banjaran Titiwangsa.

     

    Pihak Berkuasa Negeri telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk mentadbir urus Taman Warisan / Taman Negeri Selangor mulai 11 Oktober, 2006. Lanjutan daripada keputusan ini, Jabatan Perhutanan Negeri telah mengambil tindakan mewartakan  kawasan-kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) terlibat sebagai Hutan Taman Negeri di bawah seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara 1984. Sehingga kini seluas 91,144.519 ha kawasan HSK telah diwartakan melalui Warta No. 182 bertarikh 25.1.2007. Seluas 15,505.29 ha HSK dan 121 ha Tanah Kerajaan kawasan Permatang Kuartza Hulu Klang sedang dalam tindakan Jabatan Perhutanan untuk diwartakan sebagai Taman Negeri Selangor.

  2. Sila jelaskan status dan kedudukan Rancangan Buku Hijau di mana pendudukpenduduk Kampong Klang Gate Baru telah dibenarkan meneroka tanah kerajaan satu ekar seorang sejak tahun 1976.

    Kawasan Deboi sebahagiannya telah diluluskan oleh MMKN yang bersidang pada 21 Julai 1993, kecuali permohonan bertindih atau tidak dapat dikesan siapa peneroka. Sekiranya ada pemohon yang belum dipertimbangkan permohonannya dan pemohon adalah peneroka. Pentadbir Tanah mengesyorkan supaya pemohon datang ke Pejabat Tanah dengan membawa dokumen yang boleh menyokong kepada permohonannya untuk diambil tindakan.

    Kawasan Bumi Hijau, Pentadbir Tanah telah mengangkat permohonan peserta-peserta berjumlah lebih kurang 211 orang untuk pertimbangan MMKN. Walaubagaimanapun MMKN ke 12/2003 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah menangguhkan permohonan tersebut.

    Pentadbir Tanah Gombak semasa mengemukakan Kertas Ringkasan tersebut telah mengesyorkan sekiranya permohonan dipertimbangkan Pentadbir Tanah akan mendapatkan kerjasama JKKK untuk menyiasat dan menapis semula nama-nama kemungkinan terdapat masalah pertindihan, nama-nama tercicir, bertukar usaha, kematian dan sebagainya. Tindakan ini tidak dapat diteruskan kerana MMKN telah menangguhkan permohonan ini.

     

  3. Sila nyatakan status pertanian secara berkelompok di kawasan Ranjau dalam mukim Setapak dan Deboi dalam mukim Hulu Kelang dalam konteks pemberian geran kepada sebahagian peneroka dan juga dalam konteks penafian geran kepada sebahagian peneroka yang lain di atas alasan telah digazetkan sebagai Taman Warisan.

    Sama seperti di SUB(b)

Lampiran

Tiada Lampiran.