Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

125) TAMAN UNGGUL SETIAP DUN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status perlaksanaan janji manifesto untuk membina satu taman unggul di setiap kawasan DUN?

    Kerajaan Negeri Selangor komited dalam memperkukuh pembangunan taman awam sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat. Sehubungan itu, melalui ucapan Belanjawan 2025 oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi membina atau menaik taraf taman awam di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor yang akan dikenali sebagai Taman Rakyat Madani.

    Berdasarkan ucapan belanjawan tersebut, PBT Negeri Selangor dalam proses mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi pelaksanaan projek ini. Langkah ini bertujuan memastikan setiap kawasan yang dipilih dapat memenuhi aspirasi Taman Rakyat Madani yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri.

    Taman-taman ini akan dilengkapi dengan fasiliti asas serta kemudahan tambahan seperti wi-fi, kemudahan sukan, pusat kitar semula, ruang perbincangan, tempat untuk buskers, kawasan tayangan filem dan muzik.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah menyediakan prancangan untuk melaksanakan projek Taman Rakyat Madani di Taman Seksyen 6, Kota Damansara sebagai Taman Unggul di kawasan tersebut.

    Peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang disalurkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada MBPJ akan digunakan untuk menaik taraf taman ini dengan keluasan 3 ekar dan memenuhi kriteria sebagai taman unggul DUN. Projek ini bertujuan untuk menyediakan ruang rekreasi yang berkualiti serta mesra komuniti selaras dengan keperluan penduduk setempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.