Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

170) TAMAN PERMAINAN DALAM TAMAN PERUMAHAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah setiap taman perumahan memiliki taman permainan?

    Setiap kawasan perumahan adalah diwajibkan untuk menyedia kemudahan taman permainan pada setiap kawasan lapang di setiap kawasan perumahan. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai garis panduan kelulusan pelan landskap yang mensyaratkan kemudahan taman yang perlu disediakan pada setiap kawasan lapang.

  2. Adakah PBT menetapkan syarat wajib pembinaan taman permainan didalam sesebuah taman perumahan?

    PBT menetapkan syarat wajib pembinaan taman permainan di sesebuah taman perumahan berdasarkan kepada Manual dan Garis Panduan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Ke-4 yang digunakan mulai bulan Julai 2022. Bagi tujuan syarat penyediaan landskap dan taman permainan, piawaian tanah lapang 10 peratus hendaklah disediakan daripada jumlah keseluruhan tapak yang ditempatkan secara berpusat, rata dan berfungsi bagi unit rumah 50 unit dan ke atas atau 5 ekar dan ke atas. Manakala kawasan pemajuan perumahan bertanah kurang dari 50 unit ke bawah atau kurang 5 ekar penyediaan 5 peratus tanah lapang perlu disediakan. Bagi perumahan bertingkat pula 10 peratus penyediaan tanah lapang adalah disyaratkan.

  3. Banyak taman permainan yang berada dalam keadaan yang tidak selamat untuk digunakan anak-anak di Dusun Tua, bolehkah PBT melakukan kerja naiktaraf atau pembaikan semula dalam masa yang terdekat?

    Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih setiap kemudahan taman di setiap kawasan lapang dari semasa ke semasa, terutamanya bagi taman permainan yang mengalami kerosakan yang serius dan mempunyai risiko keselamatan. Namun, pembaikan ini adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan dan perancangan MPKj.

Lampiran

Tiada Lampiran.