Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

115) TAMAN ALAM KUALA SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam memulihara dan mempromosikan keindahan dan keaslian Taman Alam Kuala Selangor?

    Taman Alam Kuala Selangor adalah merupakan salah sebuah kawasan Hutan Paya Laut di Negeri Selangor. Kawasan ini berkeluasan lebih kurang 264.81 hektar (646.9 ekar).

    Kawasan ini kaya dengan spesies flora yang menjadi habitat semulajadi kepada fauna. Pada bulan September hingga April setiap tahun, kawasan ini menjadi tempat persinggahan burung-burung hijrah terutamanya dari Negara Rusia dan Siberia. Kajian oleh Malaysia Nature Society (MNS) seperti yang dilaporkan dalam MNS Conservation Publication No. 16 (2016) telah menerangkan secara terperinci mengenai kepentingan Teluk Air Tawar sebagai Important Bird Area (IBA) untuk diwartakan sebagai kawasan perlindungan yang boleh memberi kesan baik kepada ekosistem seluruhnya, burung berhijrah dan penduduk tempatan khususnya.

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menjalankan aktiviti promosi bagi mempromosikan keindahan dan keaslian Taman Alam Kuala Selangor mengikut pecahan seperti berikut:-

    • Hebahan melalui kempen promosi melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube secara berterusan sepanjang Tahun.
    • Penerbitan Artikel pelancongan melalui hebahan pengiklanan media cetak, online, digital dan media elektronik.
    • Penganjuran program lawatan bersama Media dan Agensi pelancongan bagi mempromosikan kawasan tersebut dalam penjualan pakej dan liputan media ke peringkat global.
    • Penerbitan risalah pelancongan mengemaskini informasi direktori pelancongan seperi Selangor Breakaway, The Best of Selangor dan Brosur Interaktif.
    • Hebahan melalui penganjuran program promosi dalam dan luar negara.
  2. Apakah usaha dan tindakan Kerajaan Negeri dalam memulihara hutan paya bakau yang menjadi habitat dan melengkapkan ekosistem pelbagai haiwan di sini?

    Pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sedang dalam proses akhir pewartaan Taman Alam Kuala Selangor menjadi sebahagian Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah Seksyen 9 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 bagi menjamin pengekalan kawasan biodiversiti hutan yang amat penting ini. Hal ini juga adalah selaras dengan Keputusan MMKN No. 47/7/2018 yang telah disahkan oleh MMKN Ke 8/2018 pada 14 Mac 2018 yang lalu di mana Taman Alam Kuala Selangor ini diluluskan untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Melawati.

    Selain daripada itu, ianya juga akan turut diwartakan di bawah Pengelasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagai Hutan Lipur, Hutan Pelajaran dan Hutan Penyelidikan di bawah Seksyen 10 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 selaras dengan potensi dan keunikannya yang dapat memberi peluang kepada para pelajar dan penyelidik untuk menjalankan aktiviti pembelajaran dan penyelidikan saintifik. Ianya juga turut dilihat dapat memberi pulangan ekonomi kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor sebagai “Pusat Edu-Eco Tourism”di Negeri Selangor.

    Kawasan Taman Alam Kuala Selangor ini turut mendapat perhatian utama daripada DYMM Tuanku Sultan Selangor yang amat menyokong pewartaannya sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sepertimana titah baginda semasa Program Tanam Pokok Negeri Selangor sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2017 pada 25 Mac 2017 yang lalu.  Program ini telah berjaya menanam sejumlah 7,000 anak pokok Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) dengan penyertaan seramai 1,500 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai agensi kerajaan/swasta serta pelajar-pelajar sekolah/IPTA/IPTS termasuk juga penduduk-penduduk kampung di sekitar Taman Alam Kuala Selangor ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.