Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
160) TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah saluran promosi yang digunakan oleh Kerajaan Negeri selain platform media digital untuk mempromosikan Tahun Melawat Selangor 2025?
Untuk makluman Yang Berhormat, selain daripada platform media digital, Kerajaan Negeri Selangor turut menggunakan pelbagai saluran promosi bagi memastikan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025) mendapat sambutan yang meluas, turut mensasarkan golongan yang kurang terdedah kepada platform digital. Berikut adalah beberapa saluran promosi yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor:
- Platform Pameran dan Ekspo Pelancongan
Kerajaan Negeri Selangor mengambil bahagian dalam pameran pelancongan domestik dan antarabangsa seperti MATTA Fair, Selangor International Tourism Expo (SITEX), MITT (Moscow International Travel and Tourism Exhibition), ITB Berlin dan World Travel Market. Melalui penyertaan dalam pameran ini, pihak TSSB mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor dan membina jaringan hubungan kerjasama dengan pemain-pemain industri pelancongan.
2. Platform Bahan Cetakan dan Pemasaran Tradisional
Kerajaan Negeri menggunakan bahan cetakan seperti brosur, flyer dan poster bagi tujuan pengiklanan dan hebahan kempen TMS 2025 di lokasi-lokasi tumpuan pelancongan, pusat membeli-belah, hotel, stesen pengangkutan dan Agensi Pelancongan. Bahan-bahan ini mengandungi maklumat mengenai acara, destinasi pelancongan dan aktiviti pelancongan Negeri sepanjang tahun 2025. Selain itu, pengiklanan melalui majalah pelancongan dan surat khabar tempatan serta antarabangsa turut dilakukan.
3. Platform Radio dan Televisyen
Kerajaan Negeri turut menggunakan saluran radio sebagai saluran promosi untuk menarik perhatian pendengar daripada pelbagai demografi. Selain itu, program dan iklan mengenai TMS 2025 turut disiarkan melalui saluran segmen berita di platform televisyen.
4. Platform Banner dan Papan Tanda
Banner, billboard dan bunting yang memaparkan logo TMS 2025 dipasang di jalan laluan utama, tempat tumpuan pelancong dan pintu masuk utama ke Negeri Selangor melalui kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
5. Platform Penganjuran Acara Pelancongan
Melalui penganjuran acara dan program pelancongan, Kerajaan Negeri berupaya untuk mempromosikan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan seni warisan selain daripada mempromosikan destinasi pelancongan yang terdapat di Negeri ini.
6. Platform Pengangkutan Awam
Hebahan promosi TMS 2025 melalui platform bus back advertising panel bagi 50 buah bas Smart Selangor yang meliputi 9 buah daerah dan 12 buah PBT turut dilakukan.
7. Jalinan Kerjasama Dengan Pemain Industri Pelancongan
Kerajaan Negeri melalui pihak TSSB aktif menjalinkan kerjasama dengan Agensi dan Operator Produk Pelancongan untuk mempromosikan TMS 2025 melalui bahan cetakan dan maklumat promosi mengenai industri pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor.
-
Adakah terdapat kerjasama antara Kerajaan Negeri bersama syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan atau pihak hotel untuk promosi Kempen Melawat Selangor 2025?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak TSSB telah menjalinkan pelbagai kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan dan pihak hotel untuk memperkukuh dan mempromosikan kempen TMS 2025.
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti, pengalaman pelancongan dan kesedaran mengenai produk dan destinasi pelancongan di Negeri Selangor. Berikut adalah beberapa bentuk kerjasama utama yang dilaksanakan:
- Kerjasama dengan Syarikat Penerbangan
Kerajaan Negeri bekerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa untuk menawarkan pakej pelancongan yang menarik bagi pelancong domestik dan antarabangsa seperti Air Asia, Malaysia Airlines dan Singapore Airlines. Syarikat-syarikat penerbangan ini terlibat dalam kerjasama untuk menyediakan promosi tambang murah serta pakej pelancongan yang menghubungkan bandar-bandar utama dunia dengan lapangan terbang antarabangsa di Negeri Selangor seperti KLIA dan KLIA2.
Sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama, syarikat penerbangan tersebut turut terlibat dalam kempen pengiklanan bersama yang mempromosikan TMS 2025 yang melibatkan iklan media di dalam pesawat, platform tempahan dalam talian dan pemasaran bersama di platform pameran pelancongan antarabangsa.
Selain itu, pakej penerbangan dan hotel turut ditawarkan, di mana pelancong dapat menikmati pakej kombo yang merangkumi tiket penerbangan dan penginapan di Negeri Selangor pada harga yang berpatutan.
2. Kerjasama dengan Pengusaha Pelancongan
Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan Agensi dan Operator Produk Pelancongan untuk menawarkan pakej pelancongan khusus sempena TMS 2025. Pakej-pakej ini termasuk lawatan ke destinasi pelancongan utama di Negeri Selangor seperti Sunway Lagoon, Bukit Melawati, Taman Alam Kuala Selangor, Kuala Selangor Nature Park dan sebagainya.
3. Kerjasama dengan Pihak Hotel dan Penginapan
Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan pihak hotel di Negeri Selangor untuk menyediakan pakej penginapan khas bagi pelancong yang melawat sempena TMS 2025. Pakej ini merangkumi diskaun penginapan, kemudahan tambahan serta acara dan aktiviti pelancongan khas yang disediakan oleh pihak hotel untuk pelancong. Beberapa buah hotel turut menawarkan program loyalty program yang memberi ganjaran kepada pelancong yang sering menginap di hotel-hotel tertentu sebagai sebahagian daripada promosi TMS 2025.
4. Kerjasama dengan Rakan Kerjasama Strategik
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui pihak TSSB menjalinkan kerjasama dengan rangkaian rakan pelancongan yang terdiri daripada pengusaha hotel, syarikat penerbangan, pengusaha aktiviti pelancongan dan pemandu pelancong bagi melaksanakan kempen gabungan yang memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Menerusi kempen ini, rakan kongsi pelancongan akan bekerjasama untuk menyediakan pakej pelancongan eksklusif yang membawa pelancong ke pelbagai destinasi di Negeri Selangor sepanjang TMS 2025.