Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

376) TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah persediaan kerajaan terhadap tahun melawat Selangor 2025?

    Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 merupakan hala tuju kempen promosi pelancongan yang terbaharu yang akan menjalankan aktiviti promosi pelancongan besar-besaran bertujuan untuk meningkatkan lagi profil dan kemajuan industri pelancongan Negeri Selangor. Berikut merupakan perancangan persediaan yang sedang dan akan dijalankan sempena penganjuran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

    1. Penetapan Matlamat dan Sasaran keseluruhan Tahun Melawat Selangor 2025, mengikut perincian seperti yang berikut:-
      1. Sasaran Kedatangan Pelancong: 8 juta pelancong dari dalam dan luar negara
      2. Sasaran Resit Pelancongan: RM 11.7 bilion
      3. Sasaran Program/Acara Pelancongan: Lebih 60 acara
      4. Sasaran Program/Acara Promosi: Lebih 50 inisiatif promosi pelancongan
      5. Sasaran Capaian di Media Sosial: 30 juta capaian dan tontonan
    1. Sempena penganjuran kempen Tahun Melawat Selangor 2025, berikut merupakan segmentasi pelancongan yang diberi penekanan khusus:
      1. Pelancongan Eko
      2. Pelancongan Agro
      3. Pelancongan Seni & Budaya
      4. Pelancongan Gastronomi (Makanan)
      5. Pelancongan MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions)
      6. Pelancongan Berpengalaman (Experiential Tourism)
    • Proses Kajian Potensi Pelancongan dengan membuat Kajian Pasaran seperti analisis pasaran bagi menentukan segmen pelancong berpotensi, dan trend pelancongan semasa.
    • Penambahbaikan Infrastruktur, sistem pengangkutan awam dan mengenalpasti produk pelancongan dan tempat penginapan pelancongan baharu di semua daerah Negeri Selangor.
    • Menggiatkan aktiviti Pemasaran dan Promosi Kempen termasuklah kempen pengiklanan, kempen digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, roadshow, dan Travel Fair sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
    • Menjalankan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan Negeri seperti agensi pelancongan, syarikat penerbangan, dan rakan kongsi strategik untuk meningkatkan capaian pemasaran, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menawarkan pakej menarik.
    • Penganjuran program latihan dan pendidikan pelancongan untuk meningkatkan kemahiran dan kesedaran penggiat industri terhadap keperluan pelancong seperti perkhidmatan atau servis dan cara berkomunikasi dengan pelancong.
    • Penyediaan Kalendar Acara Pelancongan dan Festival sepanjang tahun yang mempunyai daya tarikan unik dan beraneka samaada dianjurkan oleh Kerajaan Negeri ataupun pihak swasta
    • Persediaan aspek keselamatan dan kebersihan termasuk menerapkan langkah-langkah keselamatan di destinasi pelancongan dan kemudahan umum serta berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan.
  2. Bagaimana Kerajaan Negeri dapat memastikan program kerajaan pusat dapat dilakukan di Negeri Selangor bersempena tahun melawat Selangor?

    Untuk Kempen Tahun Melawat Selangor 2025, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor sedang menubuhkan jawatankuasa Induk bagi pelaksanaan kempen ini yang juga melibatkan beberapa agensi kerajaan pusat dan swasta. Melalui jawatankuasa induk ini, segala program, aktiviti promosi pelancongan, pelaksanaan dasar serta hala tuju perancangan tahunan akan diselaraskan dan memastikan kempen ini dapat disokong secara menyeluruh khususnya sepanjang tahun 2025.

  3. Bagaimana dengan pemain industri pelancongan turut terlibat dengan merancakkan tahun melawat Selangor?

    Melalui penganjuran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025, pihak Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor akan menawarkan geran khas Industri Pelancongan Selangor 2025. Melalui geran khas ini, penggiat industri pelancongan Selangor, dapat bersama-sama kerajaan Negeri Selangor dalam merencanakan idea untuk menyemarakkan promosi kempen Tahun Melawat Selangor sepanjang Tahun 2025. Antara program, aktiviti, dan acara promosi pelancongan yang boleh dianjurkan adalah seperti program pameran pelancongan, kempen pengiklanan, kempen promosi digital, program media sosial, pembangunan pelancongan, pakej pelancongan dan banyak lagi.

    Penggiat Industri Pelancongan, persatuan pelancongan, agensi pelancongan boleh memohon dengan menghantar kertas cadangan untuk kelulusan dan mendapat geran sehingga RM20,000.00 setiap permohonan mengikut terma dan syarat yang akan ditetapkan. Hal ini akan meluaskan lagi program promosi pelancongan sehingga ke akar umbi dan membantu penggiat industri untuk lebih aktif dalam mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan ke peringkat antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.