Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

224) TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan persiapan, sasaran, dan rancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menjayakan Tahun Melawat Selangor 2025.

    Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 merupakan hala tuju kempen promosi pelancongan yang terbaharu yang akan menjalankan aktiviti promosi pelancongan besar-besaran bertujuan untuk meningkatkan lagi profil dan kemajuan industri pelancongan Negeri Selangor. Berikut merupakan perancangan persediaan yang sedang dan akan dijalankan sempena penganjuran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

    • Penetapan Matlamat dan Sasaran keseluruhan Tahun Melawat Selangor 2025, mengikut perincian seperti yang berikut:-
      1. Sasaran Kedatangan Pelancong: 8 juta pelancong dari dalam dan luar negara
      2. Sasaran Resit Pelancongan: RM 11.7 bilion
      3. Sasaran Program/Acara Pelancongan: Lebih 60 acara
      4. Sasaran Program/Acara Promosi: Lebih 50 inisiatif promosi pelancongan
      5. Sasaran Capaian di Media Sosial: 30 juta capaian dan tontonan
    1. Sempena penganjuran kempen Tahun Melawat Selangor 2025, berikut merupakan segmentasi pelancongan yang diberi penekanan khusus:
      1. Pelancongan Eko
      2. Pelancongan Agro
      3. Pelancongan Seni & Budaya
      4. Pelancongan Gastronomi (Makanan)
      5. Pelancongan MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions)
      6. Pelancongan Berpengalaman (Experiential Tourism)
    • Proses Kajian Potensi Pelancongan dengan membuat Kajian Pasaran seperti analisis pasaran bagi menentukan segmen pelancong berpotensi, dan trend pelancongan semasa.
    • Penambahbaikan Infrastruktur, sistem pengangkutan awam dan mengenalpasti produk pelancongan dan tempat penginapan pelancongan baharu di semua daerah Negeri Selangor.
    • Menggiatkan aktiviti Pemasaran dan Promosi Kempen termasuklah kempen pengiklanan, kempen digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, roadshow, dan Travel Fair sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
    • Menjalankan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan Negeri seperti agensi pelancongan, syarikat penerbangan, dan rakan kongsi strategik untuk meningkatkan capaian pemasaran, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menawarkan pakej menarik.
    • Penganjuran program latihan dan pendidikan pelancongan untuk meningkatkan kemahiran dan kesedaran penggiat industri terhadap keperluan pelancong seperti perkhidmatan atau servis dan cara berkomunikasi dengan pelancong.
    • Penyediaan Kalendar Acara Pelancongan dan Festival sepanjang tahun yang mempunyai daya tarikan unik dan beraneka sama ada dianjurkan oleh Kerajaan Negeri ataupun pihak swasta
    • Persediaan aspek keselamatan dan kebersihan termasuk menerapkan langkah-langkah keselamatan di destinasi pelancongan dan kemudahan umum serta berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan.
  2. Apakah perancangan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Tourism Selangor untuk menarik lebih ramai pelancong melawat ke Hulu Selangor terutamanya Kuala Kubu Baharu?

    Daerah Hulu Selangor terutamanya Kuala Kubu Bharu sememangnya merupakan antara kawasan pelancongan yang utama dan destinasi terpenting di Industri Pelancongan Negeri yang giat dipromosikan oleh Tourism Selangor, sebagai Agensi Promosi Pelancongan rasmi kerajaan Negeri Selangor. Kekuatan daerah Hulu Selangor adalah produk pelancongan yang berkonsepkan eko, alam semulajadi, eco-adventure, sukan lasak dan inap dusun. Antara usaha yang telah dan giat dijalankan adalah seperti yang berikut:-

    1. Penyediaan pakej pelancongan khas untuk agensi pelancongan dari dalam dan luar negara untuk daerah Hulu Selangor dan beberapa destinasi utama seperti Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, dan Serendah.
    2. Penganjuran program FAM (Familiarization) Trip di daerah Hulu Selangor secara berkala bersama media, agensi pelancongan dan persatuan pelancongan.
    3. Penganjuran acara pelancongan seperti Wings of KKB, Selangor K.O.M 2023 (Ultimate King Of The Mountain Challenge), Hulu Selangor Adventure Challenge (HSAC), Hulu Selangor Ultra Trail (HSUT) dan banyak lagi.
    4. Program promosi melalui media sosial yang telah dijalankan oleh pihak Tourism Selangor melalui ‘Skuad Tiktok Tourism Selangor’ menjelajah dan membuat hantaran media sosial menarik untuk produk-produk pelancongan di daerah Hulu Selangor.
    5. Kerjasama bersama pihak pempengaruh media sosial, youtuber, vloger bagi membuat konten menarik mempromosikan produk pelancongan dan aktiviti pelancongan di Hulu Selangor.
    6. Pihak Tourism Selangor dan Majlis Pembadaran Hulu Selangor berkerjasama rapat menyertai program promosi dalam dan luar negara seperti ITB Berlin, ATM Dubai, dan sebagainya

Lampiran

Tiada Lampiran.