Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

270) TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang telah diadakan oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosikan Selangor di pentas antarabangsa?

    Untuk makluman Yang Berhormat, berikut merupakan usaha Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor (TSSB) sebagai Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri untuk mempromosikan Selangor di pentas antarabangsa:

    Program Hebahan dan Promosi Pelancongan:

    1. Melaksanakan kempen pengiklanan melalui pelbagai saluran seperti papan iklan digital, media cetak dan elektronik, serta platform dalam talian dan media sosial. Selain itu, sebanyak 15 buah pesawat Air Asia telah diperuntukkan 20 slot paparan iklan di tempat bagasi (overhead) dan 6 slot paparan iklan di belakang tempat duduk dengan kontrak selama 2 tahun;
    2. Menghasilkan kandungan kreatif berdasarkan trend semasa dengan bekerjasama dengan pempengaruh media sosial, YouTuber dan vlogger;
    3. Melaksanakan kempen pengiklanan berbayar di platform seperti YouTube, Facebook, dan TikTok;
    4. Melaksanakan kerjasama dengan platform tempahan pelancongan dalam talian seperti Agoda, Booking.com dan Expedia; dan
    5. Mengadakan peraduan berkala dengan menawarkan hadiah seperti baucar pelancongan, hotel dan taman tema.
    6. Program Promosi Antarabangsa:
    7. Mengambil bahagian dalam acara pelancongan seperti World EXPO 2025 di Osaka, ITB Berlin 2025, OTM Mumbai, ATM Dubai 2025 dan misi jualan ke India, China, Macau, dan Taiwan.

      Program Kerjasama dengan Pemain Industri Pelancongan:

    1. Menjalinkan kerjasama dengan pemain industri pelancongan seperti pengusaha hotel, pengendali pelancongan, pemandu pelancong dan pembekal produk pelancongan untuk menawarkan pakej pelancongan yang menarik dan berpatutan; dan
    2. Menjalin perkongsian strategik dengan Agensi Pelancongan untuk menyediakan promosi dan tawaran menarik seperti potongan harga untuk pelancong antarabangsa yang datang ke Negeri Selangor.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak TSSB dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah merancang lebih daripada 50 inisiatif program pelancongan sempena Kempen TMS 2025. Berikut merupakan ringkasan program dan perincian adalah seperti di Lampiran 1:

     

    BIL. RINGKASAN SEGMEN ACARA JUMLAH
    1 Jumlah Acara Pelancongan Utama 7 Acara
    2 Jumlah Acara Pelancongan dari PBT 87 Acara
    3 Jumlah Acara Pelancongan dari Agensi Korporat dan Swasta 40 Acara
    4 Jumlah Acara Pelancongan Luar Negara (di bawah Tourism Selangor) 8 Acara

     

  2. Apakah kos yang terlibat dalam uasha ini sejak ia dilancarkan sehingga kini?

    Tahun Melawat Selangor 2025 secara rasminya telah dilancarkan pada 2 November 2024 semasa program pelancongan Selangor Travel Fair yang telah dilaksanakan di Sunway Pyramid. Pada tahun 2024, peruntukan awal bagi sektor pelancongan adalah sebanyak RM 6 juta. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 3 juta sebagai persediaan bagi menghadapi TMS 2025. Bagi tahun 2025, peruntukan yang diluluskan adalah RM 8 juta di bawah Vot P01: PK10 Pelancongan berbanding RM 6 juta untuk Belanjawan Tahun 2024.

  3. Adakah kempen yang telah dijalankan dapat sambutan yang dijangka dan apa yang boleh ditambahbaikkan?

    Kempen TMS2025 secara umumnya telah mendapat sambutan yang positif daripada pelbagai pihak di mana beberapa elemen yang menunjukkan kejayaan kempen ini seperti berikut:

     

    1. Peningkatan bilangan pengunjung ke destinasi-destinasi pelancongan di Negeri Selangor seperti Taman Botani Shah Alam, Sekinchan dan Taman-Taman Eko Rimba di mana terdapat laporan positif mengenai permintaan yang lebih tinggi terhadap penginapan dan pakej pelancongan tempatan;
    2. Pelaksanaan acara pelancongan seperti MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Selangor International Culinary Festival yang telah berjaya menarik perhatian pelancong dan pengamal media antarabangsa;
    3. Penyertaan Negeri Selangor dalam pameran pelancongan antarabangsa seperti ITB Berlin dan WTM London yang membuka ruang dan peluang untuk memperkenalkan Negeri Selangor kepada pasaran pelancongan global dan menarik lebih banyak pelancong dari luar negara; dan
    4. Pemasaran digital melalui media sosial seperti Tiktok, Instagram, Facebook dan YouTube telah memberikan impak yang besar menerusi penghasilan video dan kandungan mengenai destinasi pelancongan Negeri Selangor.

     

    Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan agar ianya dapat mencapai matlamat yang lebih besar, khususnya untuk menarik pelancong antarabangsa.

    BIL. CABARAN CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
    1 Kurang kesedaran mengenai destinasi pelancongan yang terdapat Negeri Selangor di beberapa pasaran antarabangsa seperti Eropah, Amerika Utara dan Australia. Meningkatkan penglibatan Kerajaan Negeri dalam pameran pelancongan antarabangsa yang lebih besar khususnya di pasaran pelancongan Eropah dan Amerika.
    2 Beberapa kawasan pelancongan yang uzur dan kemudahan fasiliti yang kurang mesra pelancong Meletakkan fokus kepada pembangunan infrastruktur pelancongan yang lebih menyeluruh dan mesra pengunjung seperti menaiktaraf kemudahan pelancongan serta jalan akses ke tempat-tempat pelancongan luar bandar.
    3

    Peranan Komuniti setempat yang kurang dilibatkan dalam proses penyediaan perkhidmatan pelancongan.

     

    Menggerakkan komuniti tempatan dan pengusaha kecil untuk bersama-sama memainkan peranan lebih aktif dalam kempen TMS2025 termasuk memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan komuniti, pakej pengalaman tempatan serta pemasaran kreatif yang menggabungkan seni, budaya dan warisan tempatan.

    4 Melaksanakan lebih banyak data analisis mengenai keutamaan dan tingkah laku pelancong. Ini penting untuk merancang kempen pelancongan yang lebih fokus.

     

    Memanfaatkan teknologi analisis data untuk mengenal pasti trend pelancongan seperti keutamaan pelancong dan masa puncak lawatan. Ini akan membantu dalam penyesuaian kempen pemasaran serta memastikan Negeri Selangor menawarkan pengalaman yang lebih sesuai dengan kehendak pelancong dari pasaran yang berbeza.

    5 Sesetengah kawasan menghadapi cabaran dalam pelaksanaan polisi kerana kekurangan insentif tujuan penggalakan pelancongan dengan lebih berkesan.

    Menjalinkan kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemain industri pelancongan untuk memastikan perancangan dan hala tuju pelancongan Negeri sesuai dengan kehendak kempen TMS 2025.

Lampiran

Tiada Lampiran.