Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

172) TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan KPI Tahun Melawat Selangor 2025.

    Untuk makluman Yang Berhormat, berikut merupakan KPI bagi TMS2025:

    1. Mencapai 8 juta pelancong dari dalam dan luar negara;
    2. Menjana pendapatan pelancongan (tourism receipt) sebanyak RM11.7 bilion melalui aktiviti pelancongan;
    3. Menganjurkan lebih daripada 60 acara pelancongan di seluruh negeri;
    4. Melaksanakan lebih daripada 50 inisiatif promosi pelancongan untuk meningkatkan kesedaran dan menarik minat pelancong; dan
    5. Mencapai 30 juta capaian dan tontonan di platform media sosial bagi mempromosikan TMS2025.
  2. Nyatakan strategi mencapai KPI berkenaan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, berikut merupakan strategi Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor (TSSB) sebagai Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri untuk mempromosikan sektor pelancongan negeri sempena penganjuran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025):

    1. Program Hebahan dan Promosi Pelancongan:
      a. Melaksanakan kempen pengiklanan melalui pelbagai saluran seperti papan iklan digital, media cetak dan elektronik, serta platform dalam talian dan media sosial. Selain itu, sebanyak 15 buah pesawat Air Asia telah diperuntukkan 20 slot paparan iklan di tempat bagasi (overhead) dan 6 slot paparan iklan di belakang tempat duduk dengan kontrak selama 2 tahun;
      b. Menghasilkan kandungan kreatif berdasarkan trend semasa dengan bekerjasama dengan pempengaruh media sosial, YouTuber dan vlogger;
      c. Melaksanakan kempen pengiklanan berbayar di platform seperti YouTube, Facebook, dan TikTok;
      d. Melaksanakan kerjasama dengan platform tempahan pelancongan dalam talian seperti Agoda, Booking.com dan Expedia; dan
      e. Mengadakan peraduan berkala dengan menawarkan hadiah seperti baucar pelancongan, hotel dan taman tema.
    2. Program Promosi Domestik:
      a. Menganjurkan lebih 100 acara dan program di setiap daerah sepanjang tahun 2025 seperti Selangor Travel Fair, menyertai MATTA Fair, Skuad Visit Selangor Year dan program jelajah negeri; dan
      b. Memperkenalkan program pelancongan tematik seperti pelancongan warisan, pelancongan gastronomi, pelancongan alam semula jadi dan pelancongan sukan ekstrem.
    3. Program Promosi Antarabangsa:
      a. Mengambil bahagian dalam acara pelancongan seperti World EXPO 2025 di Osaka, ITB Berlin 2025, OTM Mumbai, ATM Dubai 2025 dan misi jualan ke India, China, Macau, dan Taiwan.
    4. Pembangunan Produk Pelancongan:
      a. Memperkenalkan geran khas sebagai insentif kepada penggiat industri pelancongan untuk mempergiat usaha promosi TMS2025; dan
      b. Melaksanakan program komuniti seperti Hos Komuniti Setempat (HKSS), Program Heritage Walk dan Program Pengiktirafan Produk Pelancongan.
    5. Program Kerjasama dengan Pemain Industri Pelancongan:
      a. Menjalinkan kerjasama dengan pemain industri pelancongan seperti pengusaha hotel, pengendali pelancongan, pemandu pelancong dan pembekal produk pelancongan untuk menawarkan pakej pelancongan yang menarik dan berpatutan; dan
      b. Menjalin perkongsian strategik dengan Agensi Pelancongan untuk menyediakan promosi dan tawaran menarik seperti potongan harga untuk pelancong antarabangsa yang datang ke Negeri Selangor.
    6. Penggunaan Teknologi dan Inovasi
      a. Membangunkan aplikasi pelancongan Negeri Selangor untuk memudahkan pelancong merancang jadual perjalanan serta menyediakan maklumat terkini mengenai destinasi menarik, penginapan, restoran dan acara pelancongan; dan
      b. Mengintegrasikan teknologi AR/VR untuk pengalaman pelancongan yang lebih interaktif dan menarik melalui penggunaan teknologi.
    7. Pemantauan dan Penilaian
      a. Melaksanakan penilaian berkala mengenai impak dan keberkesanan kempen dan aktiviti pelancongan yang dilaksanakan, serta menyesuaikan strategi mengikut keperluan pasaran.
    8. Sokongan daripada Kerajaan Negeri
      a. Menyediakan insentif dan geran kepada pemain industri pelancongan yang terlibat dalam kempen TMS 2025.

Lampiran

Tiada Lampiran.