Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
48) TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi yang dirancang bagi mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 di media sosial?
Program dan kempen promosi pelancongan melalui platform media sosial merupakan antara inisiatif utama yang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor bagi mempromosikan kempen yang telah dilancarkan. Untuk makluman, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor mempunyai 16 akaun rasmi media sosial dalam pelbagai bahasa, yang mempunyai hampir 1 juta pengikut serta mendapat lebih 30 juta capaian dalam tempoh setahun.
Berikut merupakan strategi yang dirancang bagi mempromosikan Kempen Tahun Melawat Selangor di platform media sosial.
- Mengadakan peraduan/contest/pertandingan secara berkala yang menawarkan hadiah merupakan baucar pelancongan, hotel dan taman tema.
- Mengutamakan kualiti dan kreatif konten yang mengikut peredaran semasa dengan teknik suntingan gambar atau video yang menarik.
- Bekerjasama bersama pihak pempengaruh media sosial, youtuber, vloger bagi membuat konten menarik mempromosikan kempen TMS 2025.
- Mengadakan kempen pengiklanan media sosial berbayar seperti youtube ads, facebook ads dan tiktok ads, untuk meningkatkan capaian hantaran posting.
- Penerbitan travelog khas sebanyak 12 episod bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
-
Adakah terdapat rancangan spesifik bagi memperkenalkan kawasan Meru sebagai salah satu destinasi pelancongan?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor sentiasa akan mencari produk-produk pelancongan baru mempunyai tarikan di kalangan pelancong. Oleh yang demikian, beberapa produk dan kawasan di Meru sedang dalam proses kajian untuk dijadikan produk pelancongan baru di Negeri Selangor. Usaha ini adalah melalui lawatan teknikal pelancongan yang melibatkan beberapa agensi yang berkaitan bagi memastikan produk pelancongan baru yang diperkenalkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam membangunkan kawasan pelancongan khusunya produk pelancongan yang baru antaranya seperti yang berikut:
- Untuk mengangkat sesebuah tempat menjadi tempat pelancongan perlu merujuk Undang-Undang Malaysia di bawah Akta 482, Akta Industri Pelancongan 1992 dan mengenal pasti status tanah atau kawasan yang ingin dijadikan kawasan pelancongan.
- Pembangunan Pelancongan dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur, kemudahan jalan serta akses, dan nilai komersial menggambarkan “x-factor” dan keunikan yang ada pada sesuatu tempat yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke tempat pelancongan tersebut.
- Aktiviti promosi yang giat dijalankan oleh Tourism Selangor bersama-sama organisasi pelancongan yang lain bagi memasarkan produk pelancongan yang mempunyai potensi diangkat menjadi tempat tarikan pelancong melalui pakej pelancongan yang bersepadu.
Sehingga kini, pihak Tourism Selangor mempromosikan kawasan Meru sebagai salah satu kawasan pelancongan gastronomi dan makanan dimana di Meru terdapat beberapa kedai makanan, restoran dan tarikan berbentuk ‘street food’ seperti Pasar Malam Pekan Meru yang sangat popular dan meriah untuk dipromosikan kepada para pelancong.
-
Apakah perancangan untuk membantu agensi pelancongan tempatan dalam memeriahkan Tahun Melawat Selangor 2025?
Sempena penganjuran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor sedang merancang untuk memperkenalkan inisiatif Geran Industri Pelancongan untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Selangor (VSY) 2025. Geran khas ini diwujudkan bertujuan sebagai suntikan insentif kepada penggiat industri pelancongan untuk mempergiat usaha promosi VSY 2025 dan menyemarakkan lagi kempen VSY 2025 dengan penganjuran program dan akitiviti promosi pelancongan di peringkat akar umbi. Terma dan syarat permohonan serta kaedah pelaksanaan program sedang diperhalusi dan akan diumumkan kelak.