Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

4) TAHFIZ TVET (LATIHAN TEKNIKAL & VOKASIONAL)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh mana Kerajaan Negeri komited membantu para pelajar tahfiz swasta yang berminat untuk melanjutkan pelajaran mereka melalui program berkemahiran dalam pendidikan TVET?

    Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi memberi peluang kepada belia dan lepasan sekolah untuk mengikuti latihan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang baik dan meningkatkan kadar keboleh pasaran belia di Negeri Selangor.

    Bermula tahun 2021, Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor telah memperluaskan program TVET IKTISASS ini kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz yang diktiraf di Negeri Selangor. Program ini diperkenalkan bagi membantu anak-anak tahfiz di Negeri Selangor untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran dengan syarat yang paling minima iaitu had umur 16 tahun dan tidak memerlukan syarat kelayakan akademik di peringkat Sekolah Menengah.

    Sehingga Disember 2023, seramai lebih kurang 103 orang anak-anak tahiz yang terpilih dan berminat telah mengikuti program IKTISASS yang dijalankan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) bagi kursus Sijil Kemahiran

    Malaysia (SKM) Tahap 2 – 4. Program ini merupakan program tajaan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor dan akan diteruskan mengikut keperluan semasa bagi menggalakkan golongan tersebut meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya membantu mereka mencari peluang pekerjaan dengan kemahiran yang ada.

  2. Adakah sebarang bentuk bantuan kewangan yang akan ditawarkan kepada mereka nanti?

    Melalui program yang dijalankan, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan anggaran berjumlah RM1,000,000.00 setiap tahun mengikut keperluan yang meliputi yuran pengajian, pendaftaran dan yuran asrama sepanjang pengajian mereka di STDC. Bantuan ini diharap dapat menaikkan semangat mereka untuk melanjutkan pengajian disamping meringankan beban keluarga yang terlibat. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan inisiatif kepada semua golongan mengikut keperluan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari mendapat manfaat program yang dijalankan.

Lampiran

Tiada Lampiran.