Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

34) TADBIR URUS ANAK SYARIKAT NEGERI

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat banyak dakwaan tadbir urus tidak baik khasnya melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan ( accountable ) terhadap masalah ini ?

    Kebanyakan dakwaan yang dilontarkan kepada anak-anak syarikat Kerajaan Negeri telah disiasat secara terperinci sama ada melalui Jabatan Audit Negara Cawangan Negeri Selangor dan Bahagian Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi meneliti kesahihan dakwaan yang dikemukakan.

    Sehubungan itu, pengukuhan tadbir urus anak syarikat adalah merupakan tanggungjawab semua peringkat pengurusan. justeru itu, tindakan sewajarnya telah diambil sama ada melibatkan penstrukturan semula organisasi pengurusan dalaman agensi terlibat serta membuat penambahbaikan dari segi prosedur kerja dan tatacara kewangan.

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang mengadakan program tertentu untuk mengukuhkan tadbir urus anak syarikat terbabit ?

    Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) telah melaksanakan beberapa program penambahbaikan dengan anak-anak syarikat melibatkan tadbir urus prosedur kewangan, audit, setiausaha syarikat dan pengurusan sumber manusia.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pemeriksaan audit di PKNS dan Yayasan Selangor dengan kerjasama Jabatan Audit Negara Cawangan Negeri Selangor dan Bahagian Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menyiasat setiap dakwaan yang dikemukakan terhadap mereka seterusnya dapat memperbaiki dan memperkukuhkan tadbir urus agensi terbabit.

    Kerajaan Negeri turut membawa isu-isu yang melibatkan PKNS dan Yayasan Selangor ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor atau singkatannya SELCAT bagi menyiasat sekiranya wujud sebarang penyelewengan dalam agensi terlibat. pendengaran juga dibuat secara terbukan bagi membolehkan masyarakat menilai isu-isu berkaitan perkara tersebut.

  3. Apakah rancangan dan tindakan untuk memulihkan kredibiliti anak syarikat yang terjejas yang terjejas ?

    Bagi memantapkan tadbir urus syarikat, di peringkat Yayasan Selangor, langkahlangkah berikut telah dilaksanakan :

    1. Penubuhan Jawatankuasa Audit dan pemeriksaan bagi syarikat-syarikat Kerajaan telah diperkukuhkan selari dengan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9/1993 bagi tujuan ‘check and balance’ pelaksanaan tadbir urus dan kewangan di Yayasan Selangor;
    2. Mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meletakkan kakitangan mereka di pejabat Yayasan Selangor bagi memudahkan langkah pencegahan dan pemantauan dilaksanakan; dan
    3. kelulusan projek-projek dengan kadar dan nilai tertentu perlu dibentangkan dan dilaporkan kepada Mesyuarat Lembaga Yayasan Selangor.

    Manakala di peringkat PKNS, langkah-langkah yang telah diambil adalah seperti berikut :

    1. Menubuhkan jawatankuasa Integriti Tadbir Urus. Penjawat awam dan termasuk pembekal, juga dikehendaki menandatangani Integriti Pact dalam usaha meningkatkan integriti ketelusan, kecekapan dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan sebarang bentuk rasuah;
    2. Menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Penilaian bagi memantau tadbir urus yang dijalankan; dan
    3. Menubuhkan Bahagian Perolehan bagi memantapkan sistem perolehan, perkhidmatan dan bekalan secara sebut harga dan atau tender.

Lampiran

Tiada Lampiran.