Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

240) TABUNG PENDIDIKAN ANAK PEKERJA LADANG (IPR 5)

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah penerima dan perbelanjaan IPR 5 dari 2014-2016 mengikut bangsa

    Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang yang dahulunya dikenali sebagai Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang diwujudkan adalah bertepatan dengan misi Kerajaan Negeri iaitu menjaga hak dan kebajikan rakyat di Negeri Selangor. Namun begitu, di bawah portfolio ini, sasaran utama ditumpukan kepada anak-anak pekerja ladang di Negeri Selangor untuk membantu kelompok tersebut mendapat pendidikan yang sempurna dalam memajukan diri pada masa hadapan. Program Pendidikan Anak Pekerja Ladang adalah suatu peruntukan yang dikhaskan untuk membantu anak pekerja ladang dengan penganjuran program-program ke arah pembangunan pendidikan. Peruntukan di bawah portfolio ini telah adalah sebanyak RM1 juta di mana jumlah tersebut kekal dari tahun 2013 sehingga kini. Peruntukan tersebut melibatkan penganjuran program-program khusus melibatkan anak pekerja ladang. Di antara program-program yang terdapat di bawah portfolio ini adalah seperti berikut :

     

    1. Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah

    Pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang yang layak mengikut kriteria permohonan bagi setiap tahun.

     

    • Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5000.00 setiap pelajar yang layak mengikut kriteria permohonan bagi satu jurusan bagi mengurangkan bebanan yuran pengajian anak-anak kepada ibu bapa.

     

    • Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian wang adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak-anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung kepada ibu bapa yang pekerja ladang.

     

    • Program–program Motivasi Anak Pekerja Ladang (Program Ad-Hoc)

    Dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi dan pendidikan di kalangan anak pekerja ladang di dalam menimba ilmu pendidikan.

    Untuk makluman Yang Berhormat Jeram, program-program yang dilaksanakan tidak dipecah mengikut bangsa malahan ianya adalah terbuka kepada seluruh anak pekerja ladang di Negeri Selangor dengan disusun dan dipantau oleh Pejabat YB EXCO. Bagi tahun 2014 sehingga 2016, seramai 19,901 orang anak pekerja ladang telah mendapat manfaat daripada program-program yang telah dilaksanakan. Butiran penerima manfaat di bawah Portfolio Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang bagi tahun 2014 sehingga 2016 adalah seperti di lampiran.

  2. Nyatakan perbandingan jumlah permohonan yang ditolak dari 2014-2016 dan sebabnya.

    Untuk makluman Yang Berhormat Jeram juga, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang sentiasa berusaha untuk membantu seluruh anak pekerja ladang di Negeri Selangor khususnya dalam kemajuan dan peningkatan kualiti pendidikan. Setakat ini, tiada permohonan yang ditolak memandangkan pelaksanaan program-program di bawah portfolio adalah terbuka dan disyaratkan khusus kepada seluruh anak pekerja ladang. Sehubungan itu, kesemua permohonan yang diterima di peringkat Pejabat EXCO akan disahkan sebelum dimajukan kepada pihak Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk proses selanjutnya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.