Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

30) TABUNG PENDIDIKAN ANAK PEKERJA LADANG

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah terkini anak-anak pekerja ladang yang telah menerima bantuan tabung ini mengikut DUN dan daerah?

    Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang ditubuhkan khusus bagi membantu Anak-anak Pekerja Ladang dari segi hal-hal berkaitan pelajaran. Antara program-program di bawah Peruntukan Tabung ini adalah seperti berikut:

     

    • Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah
    • Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di dalam Malaysia
    • Program Anugerah   Kecemerlangan   Ujian    Peperiksaan    Sekolah Rendah (UPSR)

     

    Program-program di atas terbuka kepada seluruh anak-anak pekerja ladang di Negeri Selangor. Program ini tidak dipecahkan mengikut DUN dan Daerah berikutan permohonan yang diterima adalah berterusan. Jumlah terkini anak – anak pekerja ladang yang telah dibantu di bawah program – program tersebut pada Januari 2014 sehingga kini adalah seramai 1459 orang. Pecahan jumlah penerima bantuan keseluruhan yang diberikan mengikut tahun daripada  tahun 2010 sehingga kini adalah seperti berikut :

     

    TAHUN JUMLAH PENERIMA BANTUAN JUMLAH BANTUAN (RM)
    2010 822 orang 413,498.00
    2011 858 orang 928,121.00
    2012 1060 orang 931,325.00
    2013 687 orang 893,100.00
    2014 1459 orang 286,850.00
    JUMLAH KESELURUHAN 3,452,894.00

     

  2. Apakah ada program usahasama dengan GLC dan NGO yang telah dilaksanakan untuk peningkatan pendidikan anak-anak pekerja ladang?

    Setakat ini tiada sebarang Program Usahasama Kerajaan Negeri bersama GLC dalam meningkatkan mutu pendidikan anak-anak pekerja ladang. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri, dibawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah banyak menganjurkan program usahasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak pekerja ladang. Banyak kertas kerja yang diterima oleh Jawatankuasa Pekerja Ladang dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengadakan program berbentuk seminar/motivasi khusus untuk anak-anak pekerja ladang.

     

    Di bawah Jawatankuasa Pekerja Ladang, kami memandang serius akan kebajikan anak-anak pekerja ladang terutamanya dalam bidang pelajaran bagi membantu mereka untuk lebih maju dan bersaing dengan pelajar di luar sana. Program sebegini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu pendidikan anak pekerja ladang sepertimana yang dapat dilihat dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah bagi tahun 2013.

     

    Melalui usahasama yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bersama NGO, mutu pendidikan anak pekerja ladang diharap dapat meningkat dari masa ke semasa dengan program-program yang telah dilaksanakan. Antara program bersama NGO yang telah dilaksanakan adalah seperti Program Motivasi UPSR, program seminar kepada pelajar sekolah menegah dan sekolah rendah serta program kem motivasi. Antara NGO-NGO yang pernah terlibat di dalam penganjuran program seperti berikut :

     

    1. Pertubuhan Suara Makkal Suara Kita Malaysia
    2. Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan & Kebajikan Masyarakat Malaysia
    3. Persatuan Pendidikan Wawasan Selangor
    4. Persatuan Penganut Samarasa Suttha Sanmargam
    5. Persatuan Pendidikan Warisan Selangor
    6. Persatuan Kebajikan Penduduk Tamil Kawasan Bukit Rajah
    7. Persatuan Pendidikan Wariasi UIQ Selangor
    8. Persatuan Kebajikan Mahavatar Babaji Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.