Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
142) TABUNG KECEMASAN
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana Tabung ini diuruskan?
Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menubuhkan Tabung Kecemasan Negeri Selangor. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor ada mewujudkan tabung khusus untuk menangani bencana alam iaitu Tabung Bencana Khas Negeri Selangor.
Tabung ini telah ditubuhkan melalui resolusi Dewan Undangan Negeri mengikut peruntukan Seksyen 10(4)(a), Akta Acara Kewangan 1957. Sebarang penggunaan peruntukan daripada tabung ini adalah tertakluk kepada perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan oleh Arahan Amanah (Trust Deeds) tabung berkenaan iaitu:-
- Semua wang dari Kumpulanwang ini hanya dibenarkan untuk membiayai perbelanjaan-perbelanjaan bagi membantu kerja-kerja menyelamat dan kerja-kerja yang berkaitan dengannya serta mangsa-mangsa bencana, waris-waris mangsa dan mereka-mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan bencana berkenaan yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengelola.
Selain daripada Arahan Amanah (Trust Deeds) tersebut, Tabung Bencana Khas Negeri Selangor ini juga diurus berdasarkan kepada peraturan dan ketetapan yang sedang berkuat kuasa iaitu:-
- Keputusan MMK.Bil.23/2004 bertarikh 15 Julai 2004 berhubung penyaluran peruntukan kewangan sebanyak RM40,000.00 kepada setiap Tabung Bencana Daerah dan penambahan balik (rekupmen) apabila baki peruntukan di bawah amaun tersebut.
Berdasarkan kepada peraturan dan ketetapan tersebut, penyaluran bantuan bencana daripada tabung ini diurus melalui Pejabat Tanah/Daerah dalam keskes bencana Peringkat Daerah (Tahap 1). Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) akan menilai bantuan yang wajar disalurkan kepada mangsa dengan kerjasama Penghulu Mukim dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Manakala dalam kes-kes bencana peringkat negeri (Tahap 2), urusetia Tabung Bencana Khas Negeri Selangor iaitu Perbendaharaan Negeri Selangor akan menyalurkan bantuan mengikut ketetapan:-
- Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN); ATAU
- YB Pegawai Kewangan Negeri selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 5.2, Arahan Amanah (Tust Deeds) Tabung Bencana Khas Negeri Selangor.
Walaubagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa bantuan di bawah maksud ini adalah semata-mata bantuan ehsan untuk meringankan penderitaan oleh mangsa dan bukan berbentuk ganti rugi atau pampasan.
Bermula tahun 2012, Perbendaharaan Negeri Selangor akan melaksanakan modus operandi baru di mana Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) JPBBD diberi kebenaran mengeluarkan tunai menggunakan kad ATM dengan had RM10,000.00 sehari untuk tujuan penyaluran bantuan bencana.
Keberkesanan perkara ini amat bergantung kepada kecekapan Pejabat Tanah/Daerah dalam menyalurkan bantuan bencana kepada mangsa dan mengemukakan rekupmen kepada Perbendaharaan Negeri Selangor.
Usaha penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan bantuan kepada mangsa bencana disalurkan dengan segera sekaligus meningkatkan sistem penyampaian (delivery system) perkhidmatan awam dan imej Kerajaan Negeri Selangor
-
Apakah syarat-syarat yang dikenakan untuk mendapat bantuan ini?
Keputusan MMK.Bil.23/2004 bertarikh 15 Julai 2004 telah menetapkan syaratsyarat penerima bantuan bencana seperti berikut:-
- Warganegara Malaysia;
- Mangsa bencana berdasarkan kepada unit rumah;
- Bagi rumah yang disewa, hanya penyewa sahaja akan menerima bantuan dan bukan pemilik rumah;
- Mangsa bencana dikehendaki melapor kejadian bencana kepada Ketua Kampung dalam masa 3 hari selepas kejadian dan disahkan oleh
Penghulu Mukim;
- Mangsa bencana dikehendaki mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan
Masyarakat Negeri; DAN vi. Mangsa bencana dikehendaki membuat laporan polis terhadap bencana dialaminya.
-
Bagaimana penglibatan kerajaan Negeri dengan agensi-agensi kerajaan lain bagi menangani masalah kecemasan?
Kerajaan Negeri sentiasa berhubung rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam menangani sesuatu bencana atau masalah kecemasan seperti yang dimaksudkan. Ini kerana, pengurusan bencana alam pada dasarnya diurus selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 (Pengurusan Bencana Alam) yang telah menggariskan dengan jelas fungsi dan peranan agensi/jabatan kerajaan dalam hal-hal berlakunya bencana sama ada ia berlaku di Peringkat Daerah (Tahap 1), Peringkat Negeri (Tahap 2) mahu pun Peringkat Pusat (Tahap 3).