Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

62) SYARIKAT BEKALAN AIR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah bayaran Kerajaan Negeri untuk membeli 4 buah syarikat bekalan air? Sila berikan harga masing-masing dan jumlah sewa aset tahunan tanggungan Negeri kepada Kerajaan Pusat.

    Penstrukturan industri perkhidmatan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan pengambilalihan kesemua syarikat konsesi rawatan dan bekalan air. Sehingga hari ini, pengambilalihan 100% pegangan ekuiti bagi tiga (3) dari empat (4) syarikat tersebut telah selesai dengan pecahan kos seperti berikut:-

    No. Syarikat Jumlah (RM)
    1. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) 478,750,575.00
    2. Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) 1,117,500,000.00
    3. Titisan Modal (M) Sdn Bhd (TMSB) (pemilik 100% kepentingan Konsortium ABASS Sdn Bhd) 86,184,000.00
      Jumlah Keseluruhan (RM) 1,682,434,575.00

    Keseluruhan kos di atas adalah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB.  Sebagai balasan, Air Selangor selaku operator perkhidmatan bekalan air yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor hendaklah membuat bayaran ke atas sewa pajakan (lease rental) bagi tempoh 45 tahun dengan kadar sewa pajakan sebanyak 5.5 peratus (%) setahun.

    Manakala, bagi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pula, seperti yang telah dihebahkan sebelum ini, kos pengambilalihan berkenaan adalah sebanyak RM2,550,000,000.00 bersamaan dengan RM2.55 billion, dengan RM1.9 billion dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB, di mana tempoh lease rental dan kadar sewa pajakan yang ditetapkan adalah sama seperti bagi pembiayaan yang dibuat sebelumnya.  Baki sebanyak RM650 juta pula akan dibayar secara ansuran selama sembilan (9) tahun dengan menggunakan dana dalaman Air Selangor.

    Secara keseluruhan, jumlah bayaran sewa pajakan tahunan oleh Air Selangor kepada PAAB untuk aset-aset air yang dipegang sebagai kolateral oleh PAAB bagi pembiayaan pengambilalihan 100% ekuiti empat syarikat konsesi tersebut adalah sebanyak RM196.3 juta setahun.

  2. Apakah rancangan dan hasrat Kerajaan Negeri terhadap isu pembekalan air? Adakah kajian dan pemantauan dijalankan berkenaan polisi air percuma, harga, keupayaan bekalan dan sebagainya?

    Bekalan air merupakan isu yang sangat sensitif dan sering disensasikan oleh banyak pihak dalam melihat kelemahan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan industri air. Pada ketika ini, rizab bekalan air adalah tipis dan dianggarkan berada pada kadar tidak lebih 4.0%, sumber air mentah sedia ada semakin terhad berbanding dengan permintaan penggunaan yang disasarkan pada kadar 3.5% setiap tahun.  Justeru itu, Kerajaan Negeri berusaha untuk mencapai sasaran meningkatkan rizab bekalan air mencapai 15% sebagai satu initiatif ‘water demand planning’ yang berjangka panjang. Kerajaan Negeri memberi jaminan memastikan bekalan air mentah dan air terawat akan terus diberikan keutamaan untuk menampung permintaan pengguna baik dari segi kualiti dan juga kuantiti.

    Salah satu tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah menyediakan Pelan Induk berkenaan Sumber, Pembekalan, Permintaan dan Pengagihan Air di Negeri Selangor untuk tempoh 50 tahun.  Pelan Induk ini akan dilancarkan pada akhir bulan September 2018.  Melalui Pelan Induk ini, Kerajaan Negeri boleh mengenal pasti sumber-sumber baru untuk kegunaan masa hadapan di samping merealisasikan matlamat untuk mengujudkan sistem agihan yang lengkap dan berhubung antara satu dengan lain.  Sistem agihan yang lengkap ini dapat meningkatkan lagi keberkesanan Air Selangor dalam membekalkan air bersih kepada pengguna dan  sekiranya berlaku henti tugas mana-mana loji, maka ia tidak menjejaskan pembekalan kepada pengguna sebaliknya pembekalan kepada loji yang henti tugas tadi boleh ditampung oleh loji rawatan air yang lain.

    Pada masa yang sama, perancangan awal pelaksanaan Projek Langat 2 yang dijangkakan siap pada akhir tahun 2017 telah berubah dan dijadualkan siap pada akhir tahun 2022.  Bagi menampung permintaan air sementara menunggu Projek Langat 2 siap, Kerajaan Negeri telah pun menyiapkan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dengan kapasiti sebanyak 100 JLH manakala Loji Rawatan Air Labohan Dagang

    Fasa 1 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir tahun 2018 ini.

    Pelaksanaan kedua-dua projek loji baru ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan Negeri Selangor.

    Jaminan bekalan air bersih bukan sahaja datang dari pihak Kerajaan Negeri ataupun Air Selangor. Kerajaan Negeri dan pihak syarikat telah dan akan terus mempergiatkan aktiviti baik pulih dan penambahbaikan bagi memastikan kelancaran bekalan air. Namun begitu, rakyat juga dapat turut menyumbang.

    Kerajaan Negeri menyeru supaya rakyat Negeri Selangor sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat termasuk di dalam penggunaan air bersih. Dari segi penggunaan domestik bagi Negeri Selangor bagi tahun 2017 adalah sebanyak 227 liter/orang/hari, iaitu penggunaan yang lebih tinggi dari sasaran kadar penggunaan per kapita nasional sebanyak 180 liter/orang/hari.  Penggunaan ini adalah jauh lebih tinggi dari Singapura sebanyak 170 liter/orang/hari, dan usahausaha boleh dijalankan bagi mengurangkannya.  Sekiranya jumlah ini dapat diturunkan sebanyak 20%, ia boleh menyumbang kepada penjimatan air bersih yang dianggarkan sebanyak 850 JLH pada tahun 2020 daripada jumlah permintaan air sedia ada.

    Dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan air di kalangan pengguna, Kerajaan Negeri melalui Air Selangor akan sentiasa bekerjasama dengan agensi Kerajaan Pusat untuk menekankan pelaksanaan “water demand management” dan menggalakkan pengguna melaksanakan pemasangan alat-alat penjimatan air (Water Saving Devices (WSD)) yang dapat mengurangkan penggunaan air secara automatik. WSD adalah termasuk sistem penjimatan pancuran air (heads, handsets dan sistem kawalan), peralatan paip (heads, sinki, bibs and mixers) dan sistem tandas (sistem dwi-siram, tangki curahan dan bidet) serta mesin basuh dan mesin membasuh pinggan.

    Namun demikian, sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, adalah dijangkakan akan berlaku pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi untuk tempoh 20 tahun akan datang. Pertambahan penduduk serta pertumbuhan ekonomi yang rancak secara langsung akan mendorong kepada permintaan air bersih yang lebih tinggi manakala pembekalan air tidak berubah.  Adalah dijangkakan dalam keadaan yang sedemikian, Kerajaan Negeri Selangor akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air.  Justeru itu, Kerajaan Negeri dan Air Selangor dari masa ke semasa membuat kajian bagi meneliti dan menyemak semula polisi pemberian air percuma, kadar tarif  dan keupayaan bekalan dalam usaha untuk memastikan perkhidmatan bekalan air diurus secara holistik ke arah perkhidmatan yang menjamin ketelusan, kebertanggungjawaban, efisien dan kos efektif di samping memastikan perancangan holistik untuk pembangunan sumber bekalan air hendaklah terus diberikan keutamaan bagi memastikan kelestarian dan kecukupan bekalan air untuk menampung permintaan masa hadapan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.